Pages

Tuesday, June 23, 2009

TUJUH CEDERA APABILA PESAWAT QANTAS ALAMI KEADAAN BERGELORA

PERTH: Sebuah pesawat Qantas menghadapi gelora dan tiba-tiba hilang paras ketinggiannya di ruang udara Malaysia, mencetuskan ketakutan di kalangan penumpang dan kakitangan serta tujuh orang cedera.

Pesawat Airbus A330 dengan 219 penumpang dan kakitangan itu dalam penerbangan dari Hongkong ke Perth, Australia, apabila kejadian 'bergelora teruk' berlaku di kawasan Borneo Malaysia, kata Qantas dalam satu kenyataan semalam.

Para penumpang mencerita tentang keadaan panik dan gelap dalam pesawat apabila sesetengah penumpang yang tidak memakai tali keledar tercampak dari tempat duduk.

'Seolah-olah kami jatuh dari sebuah bangunan 30 tingkat,' kata seorang penumpang, Encik Keith Huxtable.

Seorang lagi penumpang, Cik Michelle Knight, berkata kakitangan pesawat memberitahu beliau pesawat itu telah menjunam sejauh 30 meter.

Enam penumpang dan seorang kakitangan kabin terpaksa dirawat dalam pesawat itu kerana cedera ringan.

Kapten pesawat melaporkan hanya kerosakan kecil dalam kabin, kata pengurus ehwal korporat Qantas, Encik David Epstein, kepada stesen Fairfax Radio.

Pegawai keselamatan Australia sedang menyiasat punca kejadian. Tiga minggu lalu, sebuah pesawat Air France jenis Airbus A330 terhempas di Lautan Atlantik di timur laut Brazil, menyebabkan 228 orang mati. -- AP.

No comments:

Posting Terkini