WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, memberi jaminan semalam bahawa Washington 'sudah cukup bersedia' bagi menghadapi kemungkinan Korea Utara melancar peluru berpandu ke arah wilayahnya.
'Pentadbiran ini dan tentera kita sudah cukup bersedia bagi menghadapi semua kemungkinan,' tegas Encik Obama kepada CBS, apabila ditanya mengenai kemungkinan Korea Utara melancarkan peluru berpandu menuju Hawaii sekitar 4 Julai, iaitu Hari Kemerdekaan Amerika.
Beliau membuat kenyataan itu selepas satu tinjauan pendapat oleh Gallup yang disiar Khamis lalu menunjukkan 51 peratus penduduk Amerika percaya Korea Utara ancaman paling besar kepada keselamatan Amerika, mengatasi Iran, Iraq, Afghanistan dan Pakistan.
Pyongyang semalam memberi amaran kepada Amerika bahawa ia mempunyai senjata nuklear dan akan melancar serangan balas jika diserang.
Amaran itu dibuat sedang kapal pemusnah tentera laut Amerika, USS John S. McCain, terus mengekori kapal kargo seberat 2,000 tan Korea Utara, Kang Nam 1, yang disyaki membawa senjata terlarang dan sedang menuju ke Myanmar dari Singapura.
Pemerintah Myanmar, yang menghadapi sekatan senjata oleh Amerika dan Kesatuan Eropah (EU), dilaporkan membeli senjata dari Korea Utara pada masa lalu.
Semalam akhbar utama Korea Utara, Rodong Sinmun, menyifatkan sebagai 'mengarut' dakwaan bahawa negara komunis itu menimbulkan ancaman kepada Amerika, tetapi memberi amaran ia akan bertindak balas jika ia diserang.
'Adalah satu kesilapan besar jika Amerika Syarikat berfikir ia tidak akan terjejas jika ia mencetus peperangan di Semenanjung Korea,' kata akhbar itu.
Ia mengutuk ikrar Encik Obama baru-baru ini hendak melindungi dan mempertahan Korea Selatan, dan meletak Seoul 'di bawah payung nukleaar Amerika.'
Tentera Amerika telah meningkatkan pertahanan di Hawaii ekoran bimbang Pyongyang melancar peluru berpandu ke wilayah itu, kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Robert Gates, Khamis lalu. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment