Pages

Sunday, June 28, 2009

MB Cadang KUIS Wujudkan Pengajian Diploma Pengurusan Masjid

SHAH ALAM, 27 Jun - Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyarankan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mewujudkan pengajian peringkat Diploma Pengurusan Masjid kepada pelajarnya.

Beliau berkata, saranan mewujudkan kursus itu bertujuan memantapkan institusi ibadah tersebut dengan pengurusan yang lebih profesional.

Katanya, antara modul yang boleh diberi perhatian seperti aspek kerohanian dan jasmani, pengurusan hartanah masjid, perakaunan dan pemasaran masjid.

“Dengan itu Kuis akan dapat melahirkan lulusan yang cekap dalam menguruskan masjid sebagai sebuah institusi yang menjadi pusat merancang, mengurus dan mentadbir kariah setempat”,katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Negeri Selangor 2009 di Dewan Jubli Perak di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hasan Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi.

Bersempena dengan konvesyen dua hari itu, Abdul Khalid turut menyampaikan watikah pegawai dan jawatankuasa masjid kepada Orang Besar Daerah seluruh Selangor.

Turut dilancarkan hari ini, portal E-Masjid yang membolehkan penyaluran maklumat atau interaksi maya antara Jabatan Agama Islam Selangor dengan semua masjid di negeri ini.

“Maklumat -maklumat yang boleh dicapai terus melalui E-Masjid termasuklah khutbah Jumaat, penghantaran laporan kewangan masjid,program-program pengimrahan masjid dan lain-lain”,kata Dato’ Mohammed Khusrin ketika berucap pagi tadi.

No comments:

Posting Terkini