Pages

Tuesday, June 30, 2009

IRAN TAHAN 8 KAKITANGAN DI KEDUTAAN BRITAIN

TEHERAN: Iran menahan lapan kakitangan tempatan di kedutaan Britain di Teheran atas dakwaan memainkan peranan dalam rusuhan selepas pilihan raya, kata satu laporan agensi berita Fars semalam.

Iran telah berulang kali mendakwa bahawa Britain sengaja mencetuskan pergolakan dan memporak-perandakan negara itu di tengah-tengah tengkarah keputusan pilihan rayanya 12 Jun lalu.

Pada pilihan raya itu, Presiden Mahmoud Ahmadinejad kembali berkuasa.

Satu sumber yang rapat dengan kedutaan Britain memberitahu agensi berita AFP bahawa penahanan itu berlaku kelmarin.

Sementara itu, calon presiden Iran yang kalah, Encik Mehdi Karroubi, semalam meminta satu panel bebas menyiasat beberapa perkara yang tidak kena dalam pilihan raya yang dipertikaikan itu.

'Jika satu panel bebas dibentuk oleh Majlis Penjaga dengan tanggung jawab penuh untuk menyiasat semua aspek pilihan raya, saya akan mengalu-alukannya dan mencalonkan wakil saya,' kata Encik Karroubi dalam suratnya kepada majlis itu yang disiarkan akhbar Etemad Melli.

Majlis Penjaga itu, sebuah badan pengawas pilihan raya Iran, telah membentuk satu panel untuk menjalankan pengiraan semula sebahagian kotak undi pilihan raya itu. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini