PUTRAJAYA, 2 April-- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara 10 pagi esok.
Pagi tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.
Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.
Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Okt 2003.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment