AP 'mabuk' makan epal
WARSAW: Seorang ahli Parlimen Poland yang gagal ujian alkohol ketika memandu berkata beliau makan terlalu banyak epal dan bukan alkohol, menurut laman web harian Gazeta Wyborcza.
Ditanya mengapa pemeriksaan polis trafik Ahad lalu menunjukkan kadar alkohol 0.7 unit dalam darahnya, Encik Marek Latas nafi minum minuman keras hari itu.
'Saya menghidap penyakit kencing manis dan makan beberapa epal sebelum memandu. Saya tidak terlibat dengan sebarang nahas dan menjalani pemeriksaan rutin. Saya yakin tiada alkohol dalam darah saya,' katanya. -- Reuters.
Askar tak undur, darurat di Jolo
MANILA: Keadaan darurat diisytihar di pulau Jolo, selatan Filipina, selepas tempoh yang diberi kumpulan militan kepada tentera agar berundur dari kawasan hutan tidak dipenuhi menjelang tengah hari semalam.
Kumpulan Abu Sayyaf berkata mereka akan memenggal kepala seorang daripada tiga pekerja Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang ditawan menjelang tempoh itu. -- AP, AFP.
Wartawan AS akan dibicara
SEOUL: Korea Utara semalam berkata ia akan membicarakan dua wartawan wanita Amerika Syarikat yang ditahan bulan lalu di sempadannya dengan China.
Cik Laura Ling dan Cik Euna Lee didakwa melakukan 'tindakan bermusuhan', tetapi tiada penjelasan lanjut mengenai apa 'tindakan' yang dimaksudkan. -- Reuters.
China nafi risikan siber
BEIJING: China semalam berkata tuduhan bahawa ia terlibat dalam perisikan siber adalah pembohongan yang bertujuan memburukkan imej negara itu.
Kelmarin satu laporan para penyelidik Canada mendakwa satu rangkaian perisikan berpusat di China menggodam dokumen rahsia kerajaan dan pertubuhan swasta di 103 negara, termasuk komputer pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment