DEPOK (Indonesia): Verry Idham Henyansyah sedang menghadapi hukuman mati, tetapi itu tidak menghalangnya terus mengejar populariti.
Lelaki berusia 31 tahun itu, yang turut dikenali dengan nama Ryan, melakukan 11 pembunuhan bersiri, termasuk pembunuhan seorang ibu dan anak kecilnya.
Tetapi Februari lalu, Henyansyah menerbitkan autobiografinya, sementara satu koleksi lagulagu pop nyanyiannya bakal berada di pasaran bulan ini.
Malah, baru-baru ini dia diberi peluang menyanyikan di penjara sebuah lagu gubahannya kepada pegawai mahkamah, penduduk setempat dan wartawan.
'Bebaskan aku, lupakan aku, bebaskan aku dari belenggu ini,' nyanyi Henyansyah.
Dia ditangkap Julai tahun lalu selepas beberapa beg mengandungi keratan anggota badan seorang mangsanya, Herry Santoso, ditemui di tepi jalan di Jakarta.
Pengakuan Henyansyah kemudian membolehkan polis mengesan 10 kubur mangsanya yang lain di belakang rumah ibu bapanya di Jawa Timur.
Seorang banduan antara mereka yang terpesona dengan gaya Henyansyah.
'Saya telah membaca tentangnya dalam akhbar dan saya ingin melihat sendiri bagaimana rupanya. Dia muda, kacak dan kelihatan seperti seorang superstar. Sukar untuk percaya seorang yang kelihatan biasa ini boleh melakukan sesuatu yang sungguh kejam,' kata Suhardi.
Henyansyah berkata rasa bersalah antara sebab dia merakam sebuah album.
'Saya menghasilkan lagu untuk orang yang saya cinta. Maafkan aku ibu adalah untuk ibu saya,' katanya.
Dalam autobiografinya, Henyansyah tidak pernah menafikan telah melakukan pembunuhan kejam itu. Malah, bukunya menyertakan peta lokasi kubur-kubur mangsa.
Henyansyah berkata dia membunuh Santoso selepas beliau menawarkannya wang dan kereta untuk melakukan hubungan seks dengan teman lelaki Henyansyah.
Pihak berkuasa tidak menghalang pelawat mengunjungi Henyansyah di penjara dan mengambil gambar bersamanya.
'Tidak salah untuk pesalah menulis buku atau merakam album muzik. Tiada masalah,' kata Timbalan Peguam Negara, Encik Abdul Hakim Ritonga.
'Tertuduh, seperti artis-artis lain, juga mempunyai hak menerima bayaran royalti hasil penjualan buku atau albumnya. Indonesia tidak menghalang perbuatan itu,' tambah beliau. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment