Pages

Thursday, April 30, 2009

PAS PERMATANG PAUH ENGGAN SOKONG PKR?

SATU pertarungan hebat dijangka menanti pemimpin pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei.

Selain kemungkinan menghadapi barisan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang lebih bersatu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berdepan dengan sedikit kegenjotan dalam pakatan pembangkang.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) Permatang Pauh telah memutuskan akan membekukan jentera pilihan rayanya serta-merta menjelang pilihan raya kecil itu.

Yang Dipertua cawangan PAS itu, Encik Omar Hassan, mengesahkan dalam satu laporan media dalam talian Malaysiakini semalam bahawa keputusan itu dibuat sebulat suara dalam satu mesyuarat malam kelmarin.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu pada 23 Mei. Kelmarin PKR mengumumkan ia akan meletak timbalan pengerusinya bagi Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman, 58 tahun, sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Malah, ia merancang melantik Dr Mansor sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang jika beliau menang. Beliau kalah dalam tiga pilihan raya sebelum ini.

Mengenai langkah PAS Permatang Pauh membekukan jentera pilihan rayanya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, memberitahu Berita Harian pihaknya sedang menangani isu itu dan ia 'bukan satu isu tegar'.

'Setahu kami, secara dalaman, belum ada lagi surat yang dihantar kepada kami. Sejauh ini, saya rasa kami tidak akan menghadapi masalah itu. Awal dari ini, PAS negeri memang meminta dilantik calon PAS tetapi jika tidak pun, mereka tetap gembira... ia bukan satu isu yang tegar,' katanya.

Difahamkan beberapa orang telah melahirkan hasrat bertanding sebagai calon bebas, termasuk bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Cik Aminah Abdullah.

Umno pula akan memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak dalam mesyuarat biro politiknya Isnin depan.

Datuk Seri Najib, presiden Umno yang juga perdana menteri Malaysia, akan mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya, menurut laman web Umno Online hari ini.

Namun, aktivis Umno Permatang Pauh, Datuk Ariff Shah Omar Shah, semasa dihubungi Berita Harian menerusi panggilan jauh semalam berkata Umno sudah menyenarai pendek calon-calon bagi pilihan raya kecil itu dan berasa lebih yakin berdasarkan 'senario berbeza' sekarang.

Beliau membayangkan keyakinannya Umno akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihan raya umum 2008, Encik Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR mengalahkan Datuk Abdul Jalil daripada Umno dengan majoriti 2,219 undi di DUN Penanti.-- cyberita

No comments:

Posting Terkini