Pages

Wednesday, April 22, 2009

AKO DIDENDA RM3,000 DAN DIJEL TIGA BULAN

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi drama Sephia, Ako Mustapha (gambar), dikenakan hukuman denda RM3,000 ($1,240) dan penjara tiga bulan bermula hari ini oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat dua tahun lalu.

Peguam Ako, Encik Zuri Zabudin, bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhamad, membenarkan permohonan itu dan memerintahkan Encik Zuri memfailkan rayuan semalam.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Ako kerana gagal hadir bagi menghadapi tuduhan berkenaan.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 38 tahun, yang baru berkahwin dengan Cik Kartina Abdullah, 29 tahun, di Sabah pada 17 Januari lalu didakwa berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, Cik Anang Sagunting, 25 tahun, di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada 27 Jun 2007.

Ako gagal hadir bagi ketiga-tiga sebutan kes berkenaan sebelum ini.

Sebanyak tiga saman telah dikeluarkan terhadap Ako agar hadir ke mahkamah tetapi ia gagal diserahkan ke tangan pelakon itu sendiri sehingga menyebabkan saman terakhir ditampal di alamat rumah Ako di Kota Damansara.

Bagaimanapun, dua hari selepas waran tangkap dikeluarkan, Ako telah hadir ke mahkamah secara sukarela dan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Ako kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 sementara menunggu hukuman dijatuhi.

Waran tangkap terhadapnya pula telah dibatalkan.

Semasa ditemui di luar mahkamah ketika itu, Ako memberitahu bahawa Cik Katrina tidak hadir kerana beliau bimbang isterinya akan mendapat perhatian media.

Ako juga memaklumkan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah sebelum ini sehingga waran tangkap dikeluarkan kerana berada di Sabah bagi majlis pernikahannya.

Ako didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini