Pages

Monday, March 16, 2009

Pegawai SPRM Terima Rasuah?

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membuat siasatan dalaman terhadap seorang pegawai kanannya yang disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan rasuah sehingga ratusan ribu ringgit.

Pegawai kanan SPRM itu yang berjawatan Superintendan, dipercayai menerima sogokan dan sokongan kewangan daripada seorang usahawan sebagai ganjaran untuk menggertak serta mengugut saingan perniagaannya.

Beliau yang berusia dalam lingkungan 30-an dan berkepakaran dalam bidang teknikal siasatan serta undang-undang, sebelum ini pernah menyiasat beberapa kes profil tinggi membabitkan ahli politik, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan.

Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, siasatan terhadap pegawai itu dibuat selepas SPRM menerima aduan berhubung perkara berkenaan menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

"Antara lain, pengadu mendakwa pegawai itu menerima sogokan dan sokongan kewangan daripada seorang usahawan dari Sabah bagi membuka kertas siasatan terhadap beberapa kes membabitkan saingan perniagaannya dan ada di antaranya dibawa ke mahkamah tahun lalu.

"Pegawai itu didakwa mula rapat dengan usahawan yang terbabit dalam industri makanan pada 2007. SPRM juga sudah memulakan siasatan terhadap usahawan berkenaan," kata sumber itu yang turut memberi salinan surat berkenaan kepada Berita Harian.

Salinan surat bertajuk 'Harapkan Pagar Pagar Makan Padi' itu turut dihantar kepada Ketua Bahagian Penyiasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul; Pengarah Jabatan Risikan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah serta Penolong Pesuruhjaya SPRM, Abdul Wahab Abdul Aziz.

Sumber terbabit memberitahu, sebelum ini pegawai yang disiasat itu disifatkan sebagai antara yang cekap melaksanakan tugasnya serta dilihat sebagai antara calon yang mampu untuk menjawat kedudukan penting dalam SPRM pada masa depan.

Katanya, siasatan dalam SPRM kini bertumpu kepada akaun peribadi pegawai berkenaan serta ahli keluarga terdekatnya bagi mengesan sama ada wujud simpanan yang luar biasa jumlahnya, selain memastikan sumber wang berkenan.

"Kertas siasatan mengenainya sudah hampir siap dan SPRM kini hanya menunggu masa untuk mendakwa pegawai berkenaan di mahkamah tidak lama lagi," katanya.

Sumber itu turut mengesahkan pegawai berkenaan sudah dipindahkan ke jabatan lain di SPRM bagi mengelaknya terbabit dengan tugas kritikal atau mengendalikan siasatan penting sehingga proses pendakwaan dilakukan terhadapnya.

Selain itu, katanya, pegawai sama juga didakwa terbabit menyalah guna pengaruhnya dengan memaksa pihak berkuasa tempatan (PBT) tempat tinggalnya mengambil tindakan terhadap jirannya yang membuat ubah suai kediaman tidak mengikut spesifikasi.

Sementara itu, Ahmad Said dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamad, ketika dihubungi berhubung perkara itu enggan mengesahkan atau menafikannya.


No comments:

Posting Terkini