WASHINGTON: Amerika Syarikat akan melanjutkan sekatan ke atas Iran kerana Teheran masih meneruskan 'ancaman luar biasa' terhadap keselamatan dan ekonomi Amerika, demikian Presiden Barack Obama mengumumkan kelmarin.
'Tindakan dan dasar pemerintah Iran bercanggah dengan kepentingan Amerika Syarikat di rantau ini dan menimbulkan ancaman luar biasa dan berterusan bagi keselamatan dan ekonomi Amerika,' kata Encik Obama dalam satu perutusan kepada Kongres.
Sekatan terhadap Iran dikenakan pada 1995 semasa presiden Bill Clinton memegang jawatan, berhubung dakwaan bahawa Teheran menaja pengganasan dan cuba memiliki senjata nuklear.
Sekatan itu, yang dilanjutkan setiap tahun oleh presiden terdahulu, termasuk melarang syarikat Amerika membantu pembangunan industri minyak Iran, menghentikan hubungan dagangan, eksport, import dan pelaburan dengan Iran.
Sekatan itu termasuk sebahagian daripada sejumlah sekatan yang dikenakan Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran, atas pelbagai alasan termasuk menyokong pengganasan dan cuba membuat senjata nuklear.
Amerika juga berkata Iran mesti menghentikan sokongannya ke atas kumpulan yang dicap pengganas oleh Washington termasuk gerila Hezbollah di Lebanon, dan kumpulan Hamas di Gaza.
Pengumuman mengenai pelanjutan sekatan ke atas Iran itu dibuat selepas Encik Obama membayangkan beliau mungkin memulakan perbincangan dengan Iran mengenai pelbagai isu termasuk program nuklear Iran dan bagaimana Teheran dapat membantu menangani pengganasan di Afghanistan.
Pentadbiran Obama bercadang mengundang Teheran ke satu sidang antarabangsa mengenai Afghanistan yang dicadangkan bulan ini.
Naib Presiden Iran, Encik Esfandiar Rahim Mashaie, kelmarin berkata Iran mengalu-alukannya. Tetapi menurutnya, Teheran belum menerima undangan rasmi daripada pentadbiran Obama atau Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton. -- AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment