PEKAN (Pahang): Seorang suri rumah warga Kemboja cedera pada perut dan tangan selepas ditembak jirannya, seorang anggota Rela, yang menyangkakannya monyet di pokok ciku di rumahnya di Paloh Hinai, dekat sini pagi Rabu lalu.
Dalam kejadian pada 9.40 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun dari Kampung Batu Balik, dekat sini mengunjungi rumah jirannya itu sebelum isteri anggota Rela berkenaan mempelawanya makan ciku.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Yahaya Othman, berkata mangsa kemudian 'memanjat' pokok ciku yang terletak kira-kira 25 meter dari rumah jirannya itu.
'Pada masa sama, suami jirannya itu yang baru pulang dari bandar mendapati pokok ciku berkenaan 'bergoyang' dan menyangkakan monyet di atas pohon itu.
'Anggota Rela berusia 68 tahun itu kemudian mengambil senapang patah di dalam biliknya sebelum melepaskan satu das tembakan,' tambahnya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Superintenden Yahaya berkata mangsa kemudian terjatuh ke tanah dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, anggota Rela terbabit kemudian membawa mangsa ke Hospital Pekan (HP) untuk rawatan, tetapi mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, akibat cedera serius.
Akhbar Berita Harian, Malaysia (BHM), difahamkan pada mulanya lelaki itu enggan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kerana bimbang dikenakan tindakan. Namun, beliau dipercayai berubah fikiran sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pekan, atas nasihat doktor HP pada hari yang sama.
Superintenden Yahaya berkata polis sudah mengambil keterangan berhubung kejadian tersebut daripada anggota Rela berkenaan sebelum beliau dibebaskan, dan pihaknya mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.
'Jika sabit kesalahan, anggota Rela terbabit boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara dan senapang patah itu akan dirampas,' katanya. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment