Pages

Saturday, March 14, 2009

LAGI 4,000 TENTERA DIKERAH KE SELATAN THAILAND

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, akan menghantar 4,000 lagi anggota tentera ke selatan yang menjadi lokasi pemberontakan berdarah sejak lima tahun lalu dan terus mengorbankan nyawa orang awam hampir setiap hari.

Encik Abhisit memberitahu media bahawa unit renjer tambahan akan membantu memperbaiki hubungan dengan pihak berkuasa dan penduduk majoriti Islam.

'Saya sudah luluskan tambahan 4,000 renjer. Misi mereka bukan untuk bertempur. Sebaliknya, mereka akan bekerjasama dengan penduduk,' kata Encik Abhisit, selepas mesyuarat bersama pegawai atasan tentera, kelmarin.

'Kerajaan hanya boleh mengekalkan keadaan sebelumnya... ia tidak mencukupi kerana ada militan yang berjaya mencetuskan keadaan takut di kawasan itu,' katanya.

Anggota tentera ditambah selepas bajet diluluskan oleh Kabinet Selasa lalu yang bernilai 1.2 bilion baht ($51.4 juta) bagi membiayai kenaikan elaun kesukaran tentera, polis dan orang awam yang berjuang menentang pemberontakan.

Elaun itu akan dinaikkan daripada 1,500 kepada 2,500 baht sebulan bagi 60,000 kakitangan yang dikerahkan di tiga wilayah bermasalah di Pattani, Yala dan Narathiwat.

Encik Abhisit berkata, kerajaan akan menilai semula jumlah anggota askar April ini, apabila Kabinet membuat keputusan lanjut berhubung lanjutan selama tiga bulan pemerintahan tentera yang pertama kali dilaksanakan pada pertengahan 2005.

Encik Abhisit telah mengerahkan satu suruhanjaya peringkat menteri untuk melakarkan undang-undang baru bagi menggantikan pemerintahan tentera itu.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi kemanusiaan telah mengecam pemerintahan tentera di wilayah selatan, dengan Amnesty International menuduh pasukan keselamatan mendera para suspek secara 'sistematik'. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini