BRISBANE (Australia): Seorang wanita Melayu warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana menyeludup dadah kokain dari Brazil ke Australia oleh sebuah mahkamah Queensland semalam.
Pegawai kastam menahan Ramia Jimson, 46 tahun, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane sekitar setahun lalu selepas menjumpai hampir dua kilogram kokain disembunyikan dalam beg pakaiannya.
Pendakwa raya memberitahu Mahkamah Agung Queensland Ramia dipilih secara rambang bagi pemeriksaan beg pakaian apabila dia tiba dari Brazil.
Menurut peguam bela, Ramia, yang mengaku salah, berkata dia ditawar AS$2,000 ($3,077) untuk menyeludup dadah itu, yang dianggar mempunyai harga pasaran lebih AS$1.3 juta, lapor agensi berita AP.
Ramia berkata dia mahu menggunakan wang upah itu untuk mempertingkat hidupnya yang miskin. Dia menangis apabila Hakim Peter Lyons menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun tanpa parol.
Isu wanita diperdaya sindiket dadah turut mendapat perhatian di Singapura minggu ini. Isnin lalu, Biro Narkotik Pusat (CNB) mendedahkan bilangan wanita Singapura yang direkrut bagi kegiatan penyeludupan dadah di luar negara semakin meningkat.
Pada empat bulan terakhir saja, 12 wanita ditangkap, berbanding empat orang sepanjang 2007. Dalam sebahagian besar kes, mereka diperdaya lelaki warga Afrika, terutama Nigeria, yang menyamar sebagai peniaga.
Kebanyakan wanita ini akhirnya ditangkap di lapangan terbang antarabangsa termasuk di Jepun, Britain, Argentina, China dan Australia. - Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment