GAZA: Serangan Israel selama 22 hari ke atas Gaza bagi menentang kumpulan Hamas menyebabkan 1,434 orang terkorban, menurut satu kumpulan hak asasi kemanusiaan Palestin semalam.
Korban terdiri daripada 960 orang awam, 239 pegawai polis dan 235 pejuang. Hanya 13 rakyat Israel terkorban dalam perang itu.
Serangan udara, darat dan laut Israel dari 27 Disember hingga 18 Januari lalu itu menurut Israel bertujuan memastikan pejuang Hamas dan kumpulan militan Islam menghentikan serangan roket dan mortar ke sempadan selatan negara itu.
'Siasatan Pusat Hak Asasi Manusia Palestin menunjukkan bahawa askar Israel menggunakan semua tindakan agresif, kekejaman dan penganiayaan serta pelanggaran prinsip perang,' kata pusat itu.
Jurucakap tentera Israel menafikannya dan berkata mereka 'berusaha sedaya upaya mengelakkan orang awam menjadi mangsa'.
Beliau berkata sebelum menyerang tentera Israel memberi amaran agar orang awam meninggalkan kediaman mereka di zon perang.
Pejuang Hamas dikatakan sengaja menggunakan orang awam Palestin sebagai 'perisai manusia'.
Kumpulan hak asasi itu berkata mereka akan menerbitkan senarai penuh serta identiti mangsa yang terkorban minggu depan dan akan memuatkannya dalam laman web Arab dengan versi bahasa Inggeris.
Ia mendakwa hakikat orang awam terkorban melebihi bilangan pejuang yang mati menunjukkan Israel melanggar asas dan tujuan memerangi Gaza. Sebagai tambahan, 288 kanak-kanak dan 121 wanita terbunuh.
Kementerian Kesihatan mengesahkan 5,303 rakyat Palestin cedera, termasuk 1,606 kanak-kanak dan 828 wanita, kata kumpulan itu lagi.
Ia menggesa siasatan peringkat antarabangsa dijalankan ke atas jenayah yang dilakukan askar Israel dan pegawai politik serta tentera bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan. -- Reuters.
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment