Pages

Saturday, February 28, 2009

Umat Islam Singapura Berdikari Membangun Ummah

SINGAPURA, 27 Feb-- Pada setiap waktu sembahyang Jumaat, khatib di Masjid Al-Falah, yang terletak berhampiran Jalan Orchard, tidak jemu membuat pengumuman di hujung khutbahnya bahawa masjid itu memerlukan sumbangan orang ramai untuk menjayakan projek pengubahsuaiannya.

Diumumkan kira-kira S$686,000 diperlukan untuk tabung projek pengubahsuaian bagi menaikkan taraf kemudahan masjid itu untuk keselesaan dan manfaat para pengunjung yang semakin ramai terutama dari kalangan masyarakat antarabangsa Islam yang melawat Singapura.

Projek pengubahsuaian itu melibatkan penukaran permaidani di ruang sembahyang, membesarkan ruang wuduk, pusat sumber, bilik mesyuarat, koridor masjid dan pelbagai lagi.

Sejak seruan itu dibuat oleh khatib masjid Al-Falah dari April hingga Disember tahun lepas, hasilnya kira-kira S$600,000 berjaya dikutip hasil sumbangan para jemaah sehingga hari ini.

Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Yahya Hashim berkata masjid itu kini memerlukan kira-kira S$100,000 lagi untuk menyiapkan kesemua kerja pengubahsuaian yang telah dijalankan secara berperingkat.

BERGANTUNG SUMBANGAN RAMAI

Beliau berkata, walaupun kutipan wang belum mencukupi, kerja-kerja pengubahsuaian perlu dijalankan untuk membuktikan kepada jemaah masjid itu bahawa sumbangan mereka memang dibelanjakan untuk tujuan yang betul.

Setakat ini, masjid Al-Falah dapat mempertingkatkan kemudahan dan perkhidmatannya, menaikkan taraf dan membesarkan ruang wuduk, menambah bilik darjah, pusat sumber baru serta bilik kaunseling.

Menurutnya, dengan ternampak projek pengubahsuaian dilakukan ke atas masjid, orang ramai akan lebih yakin untuk memberi sumbangan derma ikhlas mereka.

Masjid Al-Falah dan masjid lain di Singapura memang menghadapi situasi yang sama iaitu terpaksa berdikari dalam mencari dana untuk memperbaiki atau menaikkan taraf kemudahan masjid masing-masing.

Masjid-masjid di Singapura yang kini berjumlah 69 buah kesemuanya juga terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk bukan sahaja menyelenggarakan masjid malah menjalankan aktiviti keagamaan seharian.

KOS BINA MASJID DITANGGUNG SENDIRI

Kerajaan Singapura pada dasarnya memang tidak menyediakan peruntukan untuk pembinaan dan penyelenggaraan masjid kecuali dalam beberapa hal sahaja seperti penyediaan tapak tanah untuk pembinaan masjid di kawasan terpilih.

Kos pembinaan masjid di Singapura sejak dari dulu lagi dan hingga kini memang ditanggung oleh umat Islam melalui sumbangan derma mereka.

Hanya pada 1975, Kerajaan menubuhkan satu tabung iaitu Dana Pembinaan Masjid (DPM) di mana umat Islam Singapura memberi sumbangan mereka secara teratur dan tetap dengan menyalurkannya melalui Central Provident Fund (CPF).

Melalui dana itu, yang diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sebanyak 23 masjid generasi baru iaitu yang mengandungi pelbagai kemudahan seperti madrasah dan pusat kegiatan masyarakat, selain tempat ibadat telah dibina sejak itu dengan kos melebihi S$100 juta.

Tetapi dana ini tidak menyediakan peruntukan untuk pembaikian, penyelenggaraan atau pengubahsuaian serta operasi masjid.

MASJID BERLUMBA MENCARI DANA

Atas sebab itu, telah menjadi lumrah untuk melihat masjid di Singapura sering berlumba-lumba sesama mereka untuk menarik orang ramai khususnya umat Islam memberi sumbangan wang ringgit bagi mengisi pelbagai tabung mereka.

Dalam persaingan mencari dana ini, masjid-masjid ini menggunakan pelbagai kaedah termasuk pendekatan yang kreatif seperti mengadakan perlawanan golf amal, iklan dalam akhbar, jualan bazaar, jualan barangan seperti buku dan kalendar Islam, dan makanan seperti nasi briyani dam dan murtabak.

Ada juga masjid seperti Masjid En-Naeem di Tampines semasa mencari S$300,000 untuk dana pembangunannya mempelawa umat Islam memberi infaq dalam bentuk tunai dari S$250 hingga S$1,000 dan Masjid Al Abdul Razak di Jalan Ismail pula pernah menawarkan wakaf bumbung S$250 dan wakaf bangunan S$200.

Masjid Muhajirin di Toa Payoh, yang merupakan antara yang awal dibina melalui DPM, telah mengajak orang ramai berkongsi wakaf dengan menyumbang S$5 untuk seketul batu bata, S$12 untuk sekaki persegi permaidani, S$100 untuk sekaki persegi bagi bilik darjah, selain bersedekah barang perhiasan emas untuk dana pembangunan semulanya yang menelan belanja S$7 juta.

Selain masjid, madrasah di Singapura juga terpaksa berharap kepada sumbangan orang ramai untuk mengadakan kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan menjalankan kelas-kelas dan program agama mereka.

Tetapi mulai tahun ini, masjid generasi pertama dan madrasah tertentu tidak lagi akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan dana untuk membaikpulih masjid atau kegiatan pendidikan agama mereka.

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM DIPINDA

Parlimen Singapura pada November lepas telah meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam supaya DPM melebarkan peranannya iaitu dana yang dikutipnya boleh digunakan untuk membaikpulih masjid dan diagihkan untuk kegunaan madrasah.

Melalui pindaan akta itu juga, umat Islam Singapura yang berpendapatan tetap bulanan diminta menambah sumbangan wajib mereka kepada tabung DPM.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa mencadangkan akta itu dipinda berkata sudah sampai masanya dana itu digunakan untuk program peningkatan masjid memandangkan pembinaan masjid baru di Singapura sudah selesai.

Beliau berkata, banyak masjid generasi pertama yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lepas di bawah DPM telah menunjukkan tanda-tanda usang seperti Masjid An-Nur di Woodlands yang dibina pada 1980.

Lee berkata masjid-masjid lama itu memerlukan nafas baru dengan membaik-pulih dan menambahkan kemudahannya seperti bilik kegiatan untuk remaja serta membina lif dan tanjakan untuk jemaah warga emas.

Beliau juga mencadangkan dana itu disalurkan kepada Yayasan Mendaki, sebuah pertubuhan sukarela yang membantu orang Melayu dan umat Islam, untuk digunakan menolong keluarga Melayu Islam yang pincang.

Dengan berkuatkuasanya pindaan Akta itu kini, mulai bulan depan (Mac 09) umat Islam di Singapura diwajibkan menambah sumbangan sekurang-kurangnya satu dolar kepada dana ini iaitu dari S$2 sebulan sehinggalah S$16 sebulan bergantung kepada pendapatan tetap bulanan masing-masing.

LEBIH DANA DAPAT DIKUTIP

Dengan pindaan akta itu, DPM dijangka dapat mengumpul kira-kira S$13 juta setahun, yang sebelum ini hanya kira-kira S$10 juta setahun daripada kira-kira 200,000 penduduk Islam Singapura yang layak menyumbang.

Dengan itu juga, masjid lama yang dibangunkan di bawah DPM seperti Masjid Al-Ansar di Bedok yang dibina pada 1981 dan masjid yang disebut oleh Perdana Menteri Lee iaitu Masjid An-nur di Admiralty Road, yang mengalami kebocoran dan usang, sudah pasti akan dibaikpulih tidak lama lagi.

Tetapi masjid wakaf atau yang dibina lama dulu oleh masyarakat Islam setempat akan terus terpaksa berdikari dalam mencari dana sendiri.

Manakala madrasah yang akan mendapat faedah secara langsung daripada pindaan akta itu ialah Madrasah Al-Junied Al-Islamiah, Al-Arabiah Al-Islamiah dan Al-Irsyad Al-Islamiah yang dananya akan diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Singapura.

Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim, yang telah membentangkan pindaan akta itu, berharap dana itu dapat dibelanjakan dengan cermat dan telus serta sebahagian daripada dana itu juga masih perlu disimpan untuk pembinaan masjid baru di Singapura pada masa depan.

Jelas sekali, umat Islam di Singapura walaupun adalah penduduk minoriti dilihat amat berdikari dan begitu aktif dalam memainkan peranan mengembangkan syiar Islam dan membangunkan ummah di Republik ini.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini