MOSCOW: Polis Russia membebaskan lebih 20 kanak-kanak Islam yang terkurung selama bertahun-tahun dalam bangunan bawah tanah milik kumpulan ajaran sesat di Kazan, di timur republik Tartarstan, kelmarin.
Pegawai penyiasat, Encik Ranis Bakhitov, berkata kesemua kanak-kanak terbabit dipaksa tinggal bersama kira-kira 60 ahli kumpulan agama, yang telah menghuni bangunan di bawah sebuah masjid itu sejak lebih 10 tahun lalu.
"Kanak-kanak tersebut terpaksa tinggal dalam keadaan yang sangat kotor dan kawasan tersebut ibarat penjara buat mereka," katanya.
Premis itu ditemui selepas pihak polis membuat siasatan terhadap beberapa pertubuhan Islam di bandar tersebut berhubung dua serangan terhadap dua guru agama bulan lalu.
Presiden Tartarstan, Encik Rustam Minnikhanov, dalam satu kenyataannya berkata, 19 kanak-kanak tersebut, sebahagian besarnya berusia di bawah enam tahun, termasuk tiga bayi, telah ditempatkan di pusat perlindungan selepas serbuan itu.
Anggota kumpulan ajaran sesat itu berkata seramai 27 kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Satu rakaman video yang dibuat polis mengenai serbuan itu menunjukkan para penghuni lelaki berjanggut memekik-mekik sedang para penyiasat menyerbu masuk bangunan dua tingkat itu.
Wanita-wanita bertudung kelihatan sedang mendukung kanak-kanak kecil, termasuk bayi, keluar daripada bilik-bilik bawah tanah bangunan itu.
Para penyiasat polis, Encik Ranis Bakhitov, berkata kanak-kanak itu "tinggal dalam keadaan kotor. Terdapat kurang pengalihan udara".
"Semua kanak-kanak itu memerlukan rawatan perubatan. Semasa serbuan, kami dapati bangunan itu setinggi dua tingkat. Terdapat bilik-bilik bawah tanah. Ruangnya berselirat. Terdapat bilik-bilik yang saiznya dua kali tiga meter," kata Encik Bakhitov.
Faizrakhman Satarov, 85 tahun, dikenal pasti sebagai ketua ajaran sesat itu dan pernah mengaku sebagai nabi pada 1964, kata Kementerian Dalam Negeri.
Pada 1996, Satarov telah membeli tanah bagi membina sebuah madrasah, yang kemudian diubah sebagai tempat tinggal tetap bagi semua anggota ajaran sesat itu.
"Penyokong Faizrakhman (Satarov) menjalani kehidupan yang terasing. Mereka tidak tinggalkan bangunan itu, kecuali jika sangat perlu," kata Kementerian Dalam Negeri.
"Kanak-kanak dalam kumpulan itu turut hidup dalam keadaan yang serupa. Mereka tidak pergi ke institusi pendidikan atau perubatan. Ini melanggar hak asasi kanak-kanak," tambahnya.
Jika sabit kesalahan, Satarov boleh dipenjarakan sehingga enam bulan kerana "sewenang-wenangnya" mengendalikan kediaman itu.
Para anggota ajaran sesat itu turut disiasat atas dakwaan menganiaya kanak-kanak, yang boleh membawa kepada hukuman tiga tahun penjara. - AFP.
No comments:
Post a Comment