Pages

Saturday, February 14, 2009

SEKILAS - DUNIA dan MALAYSIAKINI

Pak digesa bubar kumpulan militan

NEW DELHI: India dan Amerika Syarikat semalam menggesa Pakistan membubarkan kumpulan pelampau dan menghukum dalang serangan Mumbai.

Kenyataan itu dibuat selepas Islamabad mengaku serangan itu sebahagiannya dirancang di Pakistan.

Washington dan New Delhi turut menyambut baik penangkapan enam suspek serangan itu. -- AFP.

Silap lapor Bush meninggal dunia

PRETORIA: Sebuah stesen televisyen Afrika Selatan tersilap menyiarkan laporan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik George W. Bush, meninggal dunia dalam salah satu buletin beritanya.

Selama tiga saat, ETV News menyiarkan tajuk berita di skrin menyatakan 'George Bush meninggal dunia'.

Kesilapan itu berlaku apabila juruteknik tersilap menekan butang 'siaran langsung' menunjukkan tajuk berita yang salah. -- Agensi.

Khidmat 'ustaz' digantung

VIENNA: Seorang guru agama Islam di Vienna telah digantung perkhidmatannya kerana mengedarkan risalah anti-Yahudi kepada para pelajarnya.

Menteri Pendidikan, Cik Claudia Schmied, menggesa agar Penguasa Sekolah Vienna mengharamkan guru itu kerana menggalakkan para pelajarnya agar tidak membeli-belah di kedai yang dimiliki kaum Yahudi. -- AP.

Nizar mahu diisytihar MB Perak yang sah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52 tahun, semalam mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau juga memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah deklarasi bahawa Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan itu.

Datuk Seri Mohammad Nizar, juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang apabila memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, menamakan Dr Zambry sebagai responden dalam permohonan itu. -- Bernama.

Guan Eng dakwa NGO Melayu konco Umno

GEORGETOWN: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, mendakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membidas Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpinnya berhubung kemelut politik di Perak sebagai konco Umno.

Encik Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mendakwa Umno membangkitkan sentimen kaum untuk kepentingan politik parti itu.

'Mengapa kita mesti membalas dan membuat reaksi kepada konco Umno?' katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut pemimpin NGO Melayu mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini