WASHINGTON: Kumpulan Al-Qaeda kini 'kurang berupaya dan berkesan' berbanding setahun lalu selepas ia menghadapi satu siri tamparan hebat yang membunuh para pemimpin utamanya di kawasan barat laut Pakistan, kata satu laporan ketua risikan baru Amerika Syarikat semalam.
Bagaimanapun, Encik Dennis Blair, yang juga seorang laksamana bersara, berkata kumpulan itu masih merancang serangan terhadap Barat dan dipercayai sedang melihat ke Eropah.
Dalam satu laporan penilaian ancaman tahunannya kepada Kongres, Encik Blair juga menekankan ancaman Al-Qaeda yang kian meningkat di Yaman, Afrika Timur dan Afrika Utara.
Merujuk kepada serangan misil Amerika di kawasan puak Pakistan tahun ini, beliau berkata: 'Al-Qaeda kehilangan kebanyakan struktur perintahnya sejak tahun lalu selepas mengalami beberapa serangan yang merosakkan kumpulan itu sejak kejatuhan Taleban lewat 2001.
'Disebabkan tekanan kami dan sekutu kami terhadap kepimpinan utama Al-Qaeda di Pakistan dan kejatuhan anggota gabungan paling menyerlah Al-Qaeda di Iraq, Al-Qaeda hari ini kurang berupaya dan berkesan berbanding setahun lalu,' katanya.
Menurutnya, kehilangan satu persatu pemimpin utamanya 'telah membuat lebih sukar bagi Al-Qaeda mengenal pasti pengganti mereka, dan dalam beberapa kes ia terpaksa menaikkan pangkat lebih banyak tokoh muda kurang berkemahiran dan dihormati berbanding individu yang mereka ganti'.
Serangan misil Amerika menimbulkan bantahan keras di Pakistan di tengah-tengah dakwaan kematian orang awam dan amaran oleh pemerintah bahawa kempen Amerika itu 'tidak mendatangkan hasil'.
Laporan itu bagaimanapun tidak menunjukkan kempen antara sempadan Pakistan dan Afghanistan itu membantu menyekat keganasan di kedua-dua negara.
Sebaliknya, ia berkata pemberontakan yang dikuasai Taleban di Afghanistan telah berkembang dan lebih agresif serta merebak ke kawasan aman di sekitar Kabul dan mencabar pemerintah pusatnya.
Bagaimanapun, laporan itu berkata tekanan berterusan terhadap Al-Qaeda di Wilayah Barat Laut Pakistan 'berpotensi melemahkan perpaduan organisasinya dan mengurangkan ancamannya'. -- AFP.
Saturday, February 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment