KUALA LUMPUR, 12 Feb -- Pergerakan Puteri Umno akan menghantar pasukan awal ke Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak bagi meninjau keadaan di kedua-dua kawasan yang akan diadakan pilihan raya kecil itu.
Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad berkata pasukan yang terdiri daripada beberapa anggota Puteri peringkat pusat dan tempatan akan meninjau infrastruktur dan aktiviti yang sesuai dilakukan di kawasan tersebut bermula Jumaat.
"Kita dah minta (anggota) Puteri di negeri masing-masing untuk mula turun padang dan untuk buat analisis awal mengenai keadaan di tempat tersebut dan akan beri kita maklum balas dari semasa ke semasa.
"Walaupun kita belum tahu tarikhnya (pilihan raya kecil) lagi, tapi kita tidak mahu tunggu bila tarikh itu sudah tahu baru kita hendak turun dan buat kajian," katanya pada sidang media khas persiapan Puteri Umno menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau serta pelancaran Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin di sini hari ini.
Noraini juga melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil itu.
"Jentera Puteri memang bersemangat untuk membantu BN merampas kembali dan kita yakin dapatkan kembali kedua-dua kawasan itu kerana rakyat juga telah dapat menilai kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh pemimpin BN," katanya.
Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan diadakan berikutan wakil rakyatnya V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada Ahad lepas manakala pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan ekoran kematian anggota Parlimennya Roslan Shaharum daripada PAS Isnin lepas akibat serangan jantung.
Terdahulu, Noraini melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin anjuran Biro Antarabangsa pergerakan itu yang dijangka dapat mengutip sebanyak RM20,000.
"Kita harap anggota Puteri dapat menyumbang ke dalam tabung ini yang akan sedikit sebanyak membantu kesengsaraan rakyat Palestin. Semua kutipan akan disalurkan kepada Kedutaan Palestin melalui Aman Malaysia pada bulan hadapan," katanya.
Sementara itu, Noraini yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata pergerakan itu juga sedang merancang untuk menganjurkan sesi taklimat mengenai hak-hak pekerja kepada golongan wanita muda di seluruh negara yang telah diberhentikan kerja oleh majikan mereka akibat kegawatan ekonomi dunia yang melanda sekarang.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment