Pages

Wednesday, February 25, 2009

Pemuda Keadilan serah anak lembu kepada SPRM

SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan hari ini menyerahkan seekor anak lembu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bahawa badan itu mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung kesalahan salah guna kuasa.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata anak lembu itu adalah sebagai simbol bantahan mereka terhadap SPRM yang dilihat bersungguh-sungguh menyiasat kes Abdul Khalid yang didakwa menyalah guna kuasa berhubung penyelenggaraan sebuah keretanya dan dalam pembelian 46 ekor lembu korban di kawasan pilihan raya yang diwakilinya.

"Dalam kes MB Selangor yang kita protes hari ini, dalam keadaan kertas siasatan masih berstatus rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ketua Pesuruhjaya SPRM telah membuat kenyataan mendahului mahkamah untuk memulakan pendakwaan ke atasnya," katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM Selangor di sini hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Said berkata SPRM mempunyai bukti kukuh untuk mengheret Abdul Khalid ke muka pengadilan berhubung dakwaan itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini