Pages

Tuesday, February 17, 2009

EKONOMI JEPUN MEROSOT TERUK

EKONOMI Jepun merosot 12.7 peratus pada suku terakhir tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya - prestasi paling buruk sejak krisis minyak pada 1970-an.

Ia merosot 3.3 peratus pada suku terakhir tahun lalu jika dibandingkan dengan suku ketiga tahun yang sama.

Malah, kemerosotan ekonomi kedua terbesar di dunia itu adalah lebih besar berbanding Amerika Syarikat atau Eropah.

Jepun terjejas terutama ekoran permintaan sejagat yang merosot sementara para pengguna setempatnya pula mengurangkan perbelanjaan mereka.

Keadaan itu dijangka akan memaksa pemerintah negara itu memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi baru bagi menangani kemelesetan, kata para pengamat.

Dengan pengeksport mengurangkan pengeluaran dan membuang pekerja manakala sebahagian besar peruncit melaporkan kemerosotan besar dalam penjualan, para pengamat melihat harapan tipis untuk Jepun mencatatkan pemulihan dalam masa terdekat.

'Perangkaan memaparkan gambaran ekonomi Jepun yang amat teruk dan kelemahan dalam eksport,' kata ketua pengamat ekonomi Institut Kajian Norinchukin, Encik Takeshi Minami.

'Suku pertama Januari-Mac juga dijangka memaparkan pertumbuhan negatif dua angka,' ujar beliau lagi.

Jepun tidak terjejas secara langsung akibat krisis pinjaman dan perumahan di Amerika tetapi pergantungannya terhadap eksport di tengah-tengah perbelanjaan pengguna yang lemah telah menyebabkan ekonominya merosot lebih banyak berbanding sebahagian besar ekonomi-ekonomi kaya.

'Tiada lagi keraguan bahawa ini adalah kemelesetan paling teruk selain tempoh selepas perang,' ujar Menteri Ekonomi Jepun, Encik Kaoru Yosano, dalam satu sidang akhbar semalam.

Kenaikan 24 peratus dalam mata wang Jepun, yen, berbanding rakan-rakan dagangnya dalam suku tersebut juga telah menambahkan lagi keperihan di kalangan para pengeksport besar Jepun seperti Toyota dan Panasonic.

Kemerosotan besar ekonomi Jepun pada suku Oktober-Disember itu adalah yang kedua paling teruk selepas kemerosotan 3.4 peratus pada 1974 ketika krisis minyak Timur Tengah pertama melanda.

Ia juga adalah lebih besar berbanding ramalan pengamat ekonomi pada 3.1 peratus dan juga lebih besar daripada ekonomi-ekonomi maju pada suku yang sama.

Misalnya, ekonomi zon euro merosot 1.5 peratus, paling besar sejauh ini. Ekonomi Amerika pula merosot 3.8 peratus dalam tempoh yang sama.

Pemerintah Jepun, yang akan menghadapi pilihan raya tahun ini, akan menimbangkan pakej rangsangan baru sehingga AS$218 bilion ($330.7 bilion) dalam perbelanjaan bagi merangsang ekonomi, menurut laporan agensi berita Bloomberg semalam.

No comments:

Posting Terkini