Pages

Friday, January 16, 2009

Mat Razali Tarik Diri Sebagai Pegawai Pengurus Pilihanraya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Jan-- Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mat Razali Kassim menarik diri sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang juga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, dilantik menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai Pegawai Pengurus berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR telah menerima surat penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

"SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas berkenaan dengannya dan setelah memperhalusi daripada pelbagai sudut permohonan penarikan diri Datuk Bandar itu sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"SPR bersetuju menerima penarikan diri Datuk Mat Razali Kassim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil P36 Kuala Terengganu berkuatkuasa serta merta," katanya.

Pelantikan Wan Mustafa adalah selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 3(c) dan 5(1)(a) Akta Pilihan Raya 1958, katanya.

Sementara itu Mat Razali ketika diminta mengulas alasan penarikan diri sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkata, beliau mahu pilihan raya kecil itu berjalan dengan teratur.

"Saya ingin menjaga kewibawaan SPR dan integriti SPR dan memastikan pilihan raya kecil ini berjalan dengan teratur. Saya tidak menghadapi tekanan untuk berbuat demikian. Saya dengan rela hati menarik diri," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Katanya beliau ada mendengar tohmahan sesetengah pihak, kononnya beliau berkempen untuk parti tertentu pada satu majlis perjumpaan dengan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Memandangkan sudah ada tohmahan sebegini, untuk mengelak SPR dipertikaikan, saya mengambil keputusan untuk tarik diri," katanya.

Selain itu katanya keputusan beliau itu juga akan mengelak sebarang konflik kepentingan memandangkan beliau juga merupakan Datuk Bandar Kuala Terengganu.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini