Pages

Friday, January 30, 2009

Linda Jasmine Malaysiakini

"Saya tahu, perjalanan hidup yang bakal ditempuhi oleh setiap pasangan suami dan isteri bukanlah sentiasa ‘perfect’.

"Setiap hubungan itu mesti ada pasang surutnya. Saya bukan sahaja mengingatkan kepada diri-sendiri malah turut berpesan kepada Que.

"Sebagai manusia, Tuhan selalu menduga kehidupan kita dengan bermacam-macam perkara agar kita dapat menilai diri-sendiri.

"Dari situ, kita dapat mempelajari tentang cara kita mengawal situasi tersebut sama ada dengan baik atau tidak.

"Jadi, saya selalu mengingatkan diri-sendiri agar jangan terlalu cepat mengikut perasaan.

"Saya akan berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap tentang sesuatu perkara itu mahupun kalau saya terlepas cakap," luah Linda dalam temubual sejurus selepas memilih aksesori perkahwinan di Habib Jewels (Habib), Ampang Point semalam.

Dianggarkan lebih RM3 juta set aksesori dari Habib yang bakal digayakan oleh Linda semasa majlis perkahwinannya di Bora Ombak pada 14 Februari depan.

Majlis pernikahan dijangka akan berlangsung pada pukul 5 petang manakala upacara bersanding dan memotong kek akan dilakukan pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

Linda juga akan mengenakan pakaian pengantin rekaan tiga pereka iaitu Datin Kirana, Saiful Bahrin dan Calvin Thoo di mana ketiga-tiga persalinannya itu menggunakan fabrik Jakel manakala pakaian Que pula direka oleh Lord’s Tailor.

Que, seorang pelakon popular dan berbakat yang pastinya sentiasa menjadi perhatian umum.

Sambil memperhalusi pengalaman yang bakal dilalui oleh setiap pasangan artis yang mendirikan rumah tangga, Linda juga cuba membuang jauh-jauh perasaan cemburu buta terhadap Que.

"Saya rasa buang masa sahaja kalau nak terlalu cemburu buta. Setakat ini, saya masih dapat mengawal situasi tersebut.

"Tipulah kalau katakan yang saya tidak mempunyai perasaan cemburu tetapi tidaklah sampai tahap cemburu buta.

"Katakanlah jika suatu hari nanti saya betul-betul serius cemburu dan meragui sikap Que, sikap itu datang dari gerak hati saya.

"Kita akan dapat rasa sama ada melalui perlakuan dia terhadap kita. Kalau dia bersalah, kita dapat rasa yang perasaannya terhadap kita sudah hilang.

"Saya pernah mendengar melalui Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1 di mana salah seorang penceramah itu berkata seseorang wanita itu mesti mempunyai naluri," ujar guru tari dalam program realiti Akademi Fantasi ini.

"Saya rasa perkahwinan kami ini bukanlah suatu perkara asing yang timbul dalam senario masyarakat sekarang sebab di luar sana terdapat juga pasangan yang membuat keputusan seperti kami.

"Saya pernah berkahwin dulu. Sekarang, saya semakin matang dan belajar daripada pengalaman lalu.

"Dulu, saya tidak mempunyai sikap timbang rasa, terlalu ‘control’ dan cerewet tetapi sekarang saya sudah berubah.

"Saya selalu banyak sabar dan tidak terlalu mengikut perasaan," jelasnya yang berubah bukan disebabkan Que tetapi diri-sendiri yang ingin mengubahnya demi mengeratkan perhubungan masing-masing.

Tambah Linda, untuk berubah, beliau tidak boleh bergantung kepada pasangannya semata-mata tetapi perubahan itu perlu berlandaskan usaha murni antara satu sama lain.

Yang jelas disebalik usia bakal suaminya yang lebih muda tujuh tahun daripadanya itu, Linda berkata sikap matang Que menyenangi dirinya.

"Que bukan jenis malas. Dia terima diri saya seadanya. Walaupun dia lebih muda, tetapi dia lebih matang daripada saya.

"Saya akui yang saya ini mempunyai perangai ‘kebudak-budakan’. Jadi, hubungan kami boleh dianggap saling melengkapi antara satu sama lain.

"Apa yang pasti, semua ini adalah takdir Allah. Dalam perjalanan hidup kami, memang sudah tertulis kami diciptakan untuk hidup bersama.

"Hanya Tuhan yang tahu tentang apa yang bakal terjadi selepas ini," tutur Linda yang berharap semoga orang lain mendoakan yang terbaik dalam perkahwinan mereka dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

No comments:

Posting Terkini