Pages

Friday, January 16, 2009

Kerusi roda laris waktu pilihanraya

KUALA TERENGGANU: Kerusi roda mendapat permintaan tinggi sepanjang musim pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu apabila part-parti politik yang bertanding turun padang untuk menghadiahkan kemudahan itu kepada penduduk kurang upaya.

Farmasi Baiduri Sdn Bhd di sini telah menjual 10 kerusi roda dan kini terpaksa menempah 10 unit lagi dari Kuala Lumpur akibat kehabisan stok.

"Setakat ini jualan untuk kerusi roda meningkat mendadak berbanding sebelum pilihan raya," kata Pengurus syarikat itu Ahmad Kamal Sheikh Ahmad.

Katanya, jika sebelum pilihan raya, beliau hanya mampu menjual kerusi roda antara dua dan tiga unit sahaja ekoran tiada permintaan.

Beliau berkata harga sebuah kerusi roda mencecah RM330 bagi tayar mati manakala RM360 bagi kerusi roda tayar hidup yang perlu diisi angin.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut ketika melawat seorang penduduk yang menghidap penyakit gout di Kampung Bukit Depu menghadiahkan sebuah kerusi roda semasa siri kempennya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan di kawasan Parlimen Marang, Yahya Khatib Mohamad turut membeli empat buah kerusi roda semasa berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk pilihan raya ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu esok menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wan Ahmad Farid, Mohd Abdul Wahid dan Azharudin Mamat atau Adam, Bebas. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini