Pages

Wednesday, January 14, 2009

Ezam dedah surat Anwar kepada Mahathir malam ini

KUALA TERENGGANU: Bekas 'orang kuat' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor akan mendedahkan surat bekas Timbalan Perdana Menteri itu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai percubaan berdamai seminggu selepas dipecat, di sini malam ini.

Ketika dihubungi di ibu negara tengah hari tadi, Ezam berkata: "Saya akan mendedahkan malam ini."

Ezam juga mengesahkan bahawa beliau hanya akan mendedahkan surat berkenaan, bukannya butiran dokumen-dokumen dalam enam kotak rahsia.

Beliau dijadual memberikan ceramah di Kampung Kubang Parit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam yang disandang oleh calon PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut.

Ezam mengumumkan pendirian itu kelmarin, sehari selepas mendedahkan yang Anwar pernah memintanya supaya menguruskan langkah berdamai dengan Dr. Mahathir lebih sedekad lalu.

Pengundian pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan Sabtu ini.

Ezam akan kembali berkempen untul calon Barisan Nasional (BN) di sini Rabu ini.

Kelmarin Ezam berkata, sama ada Anwar menjawab cabarannya atau tidak, beliau akan mendedahkan kandungan surat Anwar kepada Dr. Mahathir yang ditulis pada 8 September 1998.

Sebelum ini beliau turut mencabar Anwar sendiri menjawab pendedahan-pendedahan tersebut sebelum memperincikan kedua-dua perkara itu kelak.

Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 20 September.

Ezam berkata, surat dua halaman itu ditulis tangan oleh Anwar sendiri.

No comments:

Posting Terkini