Pages

Friday, December 12, 2008

$2.5J DIBAYAR SETAHUN BAGI SEWA, SENGGARA RUMAH PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dibidas setelah ia mengaku membelanjakan AS$1.68 juta ($2.5 juta) setiap tahun untuk membiaya kediaman mewah perdana menteri di ibu kota pentadbiran negara itu, Putrajaya.

Menjawab soalan ahli parlimen (AP) pembangkang dalam sesi Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata RM6.01 juta ($2.5 juta) telah dibayar setiap tahun kepada syarikat pemaju yang dikaitkan dengan kerajaan, Putrajaya Holdings, bagi tujuan menyewa dan menyenggara kediaman itu.

Kerajaan Malaysia juga menanggung kos RM3.4 juta setahun bagi menyenggara kediaman timbalan perdana menteri.

Dinamakan sebagai kompleks Seri Perdana, kediaman mewah perdana menteri itu dibina oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi penyewa pertamanya pada 1999.

Bangunan-bangunannya bertebaran dalam kawasan seluas 16 hektar di tengah-tengah Putrajaya. Ia merangkumi tiga blok bangunan, termasuk sebuah kawasan rehat, kemudahan jamuan dan tempat tinggal.

Datuk Seri Abdullah tinggal di kompleks itu bersama isteri, anak perempuan dan menantunya serta anak mereka.

'Adalah satu pembaziran untuk membelanjakan banyak wang untuk menyewa rumah bagi perdana menteri sedang negara menghadapi tempoh sukar seperti sekarang,' kata seorang AP pembangkang daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Ketua Menteri Pulau Pinang dari parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, pula menyoal tentang pembayaran sewa itu kepada Putrajaya Holdings, anak syarikat Petronas, iaitu syarikat milik syarikat Kementerian Kewangan, Khazanah.

'Ia (pembayaran sewa) juga menimbulkan soalan mengenai siapakah pengarah-pengarah syarikat itu dan siapa yang mendapat semua keuntungan yang diraih oleh syarikat itu,' ujarnya. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini