Pages

Wednesday, December 31, 2008

MERCY Malaysia Hantar Pasukan Kemanusiaan Ke Gaza

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) akan menghantar satu pasukan yang terdiri daripada pakar perubatan dan petugas logistik ke Mesir bagi menyahut seruan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa serangan Israel di Tebing Gaza.

Pasukan yang ditugaskan membuat penilaian mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan itu akan diketuai oleh Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Jemilah Mahmood dan seorang anggota majlis eksekutifnya Norazam Ab Samah.

MERCY Malaysia dalam satu kenyataan Selasa berkata mereka akan berpengkalan di Rafah, bandar di sempadan Mesir, untuk menyediakan saluran lojistik yang sesuai bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pihak-pihak yang sewajarnya di Gaza.

Pasukan bantuan itu dijadualkan berlepas ke Mesir Selasa.

"MERCY Malaysia memiliki kelebihan kerana mempunyai rakan yang boleh dipercayai yang sudah berpengkalan di Gaza, dan ini akan membantu dalam menyegerakan penyaluran bantuan yang akan dibekalkan nanti," kata Dr Jemilah dalam satu kenyataan Selasa.

Sementara itu, penyelaras AMAN Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir pula menggesa komuniti antarabangsa mengutuk tindakan keji dan ganas Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa dan tidak berpeluang mempertahankan diri yang tinggal di Tebing Gaza itu. Serangan Israel sehingga kini membunuh sekurang-kurangnya 250 orang dan mencederakan 700 lagi.

"Kami menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk berdiri teguh bersama rakyat Palestin menentang tindakan ganas yang bertujuan membawa kemusnahan kepada kalangan penduduk yang dirampas tanah mereka oleh Israel dan sekutunya itu," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata rakyat Malaysia mengutuk tindakan ketenteraan Israel dan menggesa kerajaan Israel menghentikan serangannya di kawasan padat dengan penduduk di Tebing Gaza itu.

"Israel tidak mempunyai alasan moral, mahupun asas-asas yang sah dalam melaksanakan serangan itu," katanya.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pula dalam satu kenyataannya mengutuk keras kezaliman Israel ke atas Palestin dan menggesa Amerika Syarikat serta Britain menjelaskan mengapa mereka membiarkan keganasan Israel berleluasa.

Setiausaha Agungnya Dr Roslan Mohd Nor berkata PUM menyeru supaya pemerintah dan rakyat di negara-negara umat Islam bersatu menghadapi cabaran baru yang serius yang bukan sahaja sedang mengancam negara-negara seperti Afghanistan, Iraq, dan Iran, tetapi juga mengancam seluruh negara umat Islam, khasnya umat Islam Palestin.

Pada masa yang sama, PUM juga menyeru pemimpin dan rakyat di negara Islam agar kembali berpegang teguh dengan nilai-nilai asas ajaran Islam, konsep Islam yang syumul, sistem pendidikan Islam yang sebenar, serta perpaduan ummah yang kental berasaskan kepentingan bersama.

PUM juga menyelar sikap pilih kasih kuasa-kuasa besar dan negara-negara bekas penjajah, yang memberikan layanan yang berbeza dalam isu-isu berhubung perlucutan senjata pemusnah besar-besaran yang dianggap tidak adil terhadap negara-negara Islam.

Negara kuasa besar itu juga diseru agar menarik balik tentera dan senjata mereka yang kini sedang berkeliaran di merata pelusuk dunia untuk melakukan keganasan menggunakan pelbagai senjata konvensional dan moden.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini