Pages

Monday, December 8, 2008

BERITA RINGKAS MALAYSIA

Highland Tower

Mesyuarat BN esok bincang pilihan raya kecil

PUTRAJAYA: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) esok akan menumpukan kepada strategi dan persiapan awal pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata: "Antara agendanya ialah tentang strategi apa yang patut dilakukan dan bagaimana untuk mendapat majoriti lebih baik daripada 628 undi pada pilihan raya umum lalu."

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Januari sebagai hari penamaan calon manakala pengundian diadakan pada 17 Januari jika ada pertandingan.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu terpaksa diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.--mSTAR

>>>
Basikal pengayuh Jerit dibakar.

Malaysiakini - Peserta kempen mengayuh untuk perubahan anjuran Jerit berdepan dengan masalah lagi - kali ini basikal mereka dibakar di Penanti, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Sekurang-kurangnya lapan basikal rosak, tiga daripadanya rosak teruk, apabila dibakar pada kira-kira jam 3 pagi tadi di bangunan Yayasan Aman.

Kumpulan berbasikal Jerit itu berhenti bermalam di bangunan tersebut selepas mengayuh sejauh hampir 100km dari kedah dan di Pulau Pinang.

Nasib baik penyelaras Jerit, Liew Shin Siong, 40, yang tidur di tingkat bawah bangunan tersebut, sempat memadamnya sebelum api merosakkan ke semua basikal.

Beliau dikejutkan oleh bunyi letupan, yang dipercayai dari tayar yang terbakar.

Ketika sedang memadam api, mereka terdengar bunyi suara lelaki menjerit - 'hidup atau mati, tak peduli' - dari sebuah kereta yang diletak berhampiran bangunan tersebut.

Penyelaras Jerit, R Mohana Rani tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut bermotif politik untuk mensabotaj kempen mengayuh untuk perubahan itu, yang berlepas dari Alor Star pada 2 Disember. -- Malaysiakini


>>>
BERIKUT ialah perkembangan terbaru di Bukit Antarabangsa.

- Maybank mengumumkan skim bantuan kewangan khas kepada para pelanggan dan kakitangannya yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Ia akan menangguhkan tempoh bayaran bulanan sehingga enam bulan kepada pelanggannya termasuk yang membuat pinjaman kenderaan dan perniagaan.

- Naib Presiden TNB (Pembahagian) Ir. Azman Mohd. berkata, bekalan elektrik kepada 1,500 unit rumah yang terputus bekalan elektrik telah berjaya disambungkan pada pukul 5.26 petang tadi.

- Kawasan perumahan yang menerima bekalan ialah Taman Bukit Jaya, Taman Puncak Bukit Utama, Kondominium Casa Desol, Taman Bukit Utama, Kondominium Oakleaf, Kondominium Impian Selatan, Kyoto Gardeb dan Kelab Kyoto Garden.

- Dua Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Serin Mohd. Ali Rustam turut lawat.

- Pasukan penyelamat, sukarelawan dan petugas media yang bertugas di lokasi tragedi tanah runtuh sambut Aidiladha di lokasi kejadian. Antara syarikat yang menyumbang juadah untuk kesemua petugas SAR hari ini termasuklah Hotel Concorde Kuala Lumpur.

- TNB berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik menjelang 7 petang ini.

- Laluan kedua sedang dibina oleh ATM dan JKR, tembok sebuah rumah berdekatan dipecahkan manakala kerja-kerja penurapan agak lewat kerana faktor cuaca dan hujan lebat.

- Mendapan tanah menjejaskan usaha membawa jana kuasa bergerak TNB.

- TNB sedang menjalankan kerja-kerja merentang kabel baru 11 kV melalui jalan alternatif yang sedang dibina oleh pihak tentera. Kerja-kerja ini telah bermula sejak awal lagi.

- Jambatan sementara tidak stabil ekoran keadaan tanah di kawasan tragedi.

- Bekalan air telah disambung.

- Hampir 3,000 penduduk melibatkan lima kawasan dan taman sekitar sudah dipindahkan.--mSTAR

>>>
Hujan 6 negeri hingga esok, Melaka banjir

[DIKEMAS KINI, pukul 7 petang] KUALA LUMPUR: Hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka sehingga esok.

Keadaan itu juga dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan itu juga meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di Sarawak sehingga Rabu ini yang dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebingtebing sungai.

Dalam pada itu, lebih 300 orang penduduk di beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka terpaksa dipindahkan berikutan banjir kilat yang melanda sejak awal pagi tadi berikutan hujan lebat.

Di Melaka Tengah, ia melibatkan 56 orang yang dipindahkan dari Taman Rambai Utama dan 150 orang dari Kampung Enam, katanya ketika dihubungi.

Di Jasin, seramai enam orang dipindahkan di Simpang Bekoh, Rim (6 orang) dan Selandar (9 orang). BERNAMA

>>>
Bom mortar ditemui di kebun

SEREMBAN: Penemuan sebutir bom mortar yang digunakan untuk latihan oleh pasukan keselamatan tertanam di sebuah kebun sayur di Mambau, dekat sini, petang kelmarin menimbulkan misteri bagaimana ia berada di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata walaupun bom itu tidak berbahaya pihaknya tetap melakukan siasatan untuk mengenal pasti asal usul bom berkenaan.

"Bom ini sering digunakan dalam latihan, malah ia jenis lama dan tidak digunakan lagi. Bagaimanapun, pasukan unit pemusnah bom tetap berhati-hati ketika mengalihkan bom terbabit kerana dikhuatiri masih aktif dan boleh meletup.-- BH

>>>
Pakar geologi: "Saya telah lama kecewa bila sebut Bukit Antarabangsa"

KUALA LUMPUR: Pengurusan dan inventori bagi kawasan cerun di Bukit Antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan pihak berkuasa membuat pemantauan yang berterusan dan lebih tegas di kawasan itu.

Pakar geologi Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, usaha itu dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan yang terdedah dengan kejadian tanah runtuh dan memberikan amaran awal kepada orang ramai agar dapat menyelamatkan nyawa penduduk di kawasan itu memandangkan kawasan itu dikenalpasti berisiko tinggi.

Beliau yang juga Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia yang terbabit dalam pelbagai kajian yang dijalankan pihak berkuasa selepas kejadian tanah runtuh di kawasan itu berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan kerana data yang ada mencukupi hasil pelbagai kajian ke atas kedudukan tanah dan latar belakang geologikalnya.

"Kajiannya mencukupi. Para jurutera dah faham (dengan keadaan tanah dan geologikal di kawasan itu).

"Sekarang adalah masa untuk bertindak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kejadian tanah runtuh awal pagi semalam yang meragut empat nyawa dengan 14 banglo di taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa di sini tertimbus.

Ibrahim berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu memulakan "pengurusan pemantauan dan membuat profil mengenai setiap cerun di kawasan itu."

"Pada masa ini, pihak berkuasa tidak mempunyai maklumat, di manakah cerun-cerun itu, di manakah kawasan malapetaka, dan cerun manakah yang berisiko.

"Tiada siapa yang boleh memberikan jawapan," katanya sambil mengeluh dengan usaha membuat profil kawasan berisiko tinggi di Bukit Antarabangsa.

Beliau salah seorang pakar utama yang telah menjalankan kajian ke atas Bukit Antarabangsa berikutan tragedi Higland Towers yang meragut 48 nyawa pada 1993 berkata, kesemua kajian di kawasan itu menunjukkan bahawa kawasan itu berisiko tinggi.

"Keadaan tanahnya terdedah kepada tanah runtuh dan latar belakang geologikal berkaitan dan kedudukan tanah juga membuktikan demikian," katanya.

Sambil melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengurusan cerun di Bukit Antarabangsa, Ibrahim berkata:

"Di Malaysia, sebaik sahaja sebuah syarikat membangunkan projek perumahan dan menyerahkannya kepada pemilik, semua orang lepas tangan."

"Sebenarnya, saya telah lama kecewa apabila menyebut Bukit Antarabangsa. Setiap kali hujan, saya menjangka sesuatu seperti ini akan berlaku," katanya.

Ibrahim juga terbabit dalam menjalankan kajian dalam kejadian tanah runtuh pada 5 Oktober 2002 apabila tanah yang beratnya beberapa tan meranapkan sebuah banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang meragut nyawa isterinya, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua iparnya, dua cucu dan dua pembantu rumah Indonesia.

Banglo itu terletak kirakira 300 meter dari Highland Towers. BERNAMA




No comments:

Posting Terkini