Monday, November 3, 2008
Projek Landasan Berkembar Ipoh-Padang Besar Diberi Kepada MMC-Gamuda
KUALA LUMPUR, 3 Nov-- Projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar yang bernilai RM12.485 bilion telah diberikan kepada MMC-Gamuda JV melalui cara rundingan terus dan bukan menerusi tender terbuka.
"Projek ini adalah secara rundingan terus dan telah mengambil kira tentang kepakaran yang ada pada syarikat-syarikat yang telah menawarkan untuk melaksanakan projek-projek ini," kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai cara projek tersebut diberikan kepada MMC-Gamuda, pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Lajim berkata cara rundingan terus adalah lebih baik kerana projek itu merupakan projek yang besar dan memerlukan kepakaran untuk membolehkan kerja-kerja berkenaan dibuat dengan sempurna dan dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu merangkumi tempoh lima tahun mulai 8 Jan, 2008 hingga 7 Jan, 2013.
Projek itu dilaksanakan secara "reka dan bina", dan skop kontrak meliputi perancangan, reka bentuk, pelaksanaan projek, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaran.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment