KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Sungguhpun krisis ekonomi global yang sedang melanda dijangka berpanjangan sehingga 2-4 tahun, tetapi kesan negatifnya tidaklah seteruk Kemelesetan Besar (Great Depression) di Amerika Syarikat dalam tahun 1930an, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Ini kerana pada tahun 1930an, kerajaaan AS dan bank pusatnya mengamalkan dasar ekonomi menguncup sementara sekarang mereka mengambil langkah-langkah pengembangan ekonomi, kata beliau dalam rancangan 60 Minit Bersama Menteri di RTM1 Rabu malam.
Nor Mohamed berkata dibandingkan dengan krisis 1997, krisis sekarang lebih besar kerana pada 1997 ia merupakan krisis perbankan dan mata wang yang melibatkan negara-negara di rantau ini dan oleh itu ia dipinggir sistem kewangan dunia.
Tetapi kali ini ia melibatkan pusat-pusat kewangan dunia di AS dan Eropah, dan ia tidak senang diatasi kerana melibatkan kehancuran sistem kewanagan dunia, jelas beliau.
Keyakinan yang sudah hancur akan mengambil masa yang panjang untuk dikembalikan, tambahnya.
Menyentuh mengenai pengangguran, beliau berkata, bagi Malaysia, kadar pengangguran masih rendah pada sekitar tiga peratus dan kalaupun naik ia tidak akan melebihi empat peratus.
Malaysia juga mempunyai kadar simpanan yang tinggi iaitu pada kadar 37 peratus berbanding dengan AS yang hanya antara kosong ke satu peratus dan sekarang kerajaannya terpaksa meminjam AS$4 billion setiap hari bekerja untuk menampung keperluan.
Nor Mohamed berkata sistem perbankan negara juga kukuh dan kerajaan adalah proaktif untuk mengatasi masalah termasuk mengambil langkah unorthodox dengan acuan sendiri bagi mengatasi masalah seperti pada krisis kewangan tahun 1997.
Sementara itu, mengenai kebimbangan tentang penurunan dalam pendapatan dari hasil minyak, beliau menjelaskan bahawa bagi bajet 2009, cukai petroleum dan dividen dari Petronas adalah berasaskan pada harga minyak 2008, dan oleh yang yang demikian tidak timbul sebarang masalah.
Beliau berkata hanya bagi bajet 2010 dan seterusnya mungkin perlu dilihat semula hasil minyak memandangkan harganya yang sudah menurun dengan cepat.
Beliau berkata defisit tinggi iaitu pada kadar 4.8 peratus adalah tidak menjadi masalah kerana kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang berdisiplin dari segi hal kewangan dan maMpu membayar balik.
Beliau juga menjelaskan bahawa pada 1997, defisit bajet adalah 5.5 peratus.
Defisit adalah sesuatu yang harus disesuaikan dengan keadaan ekonomi iaitu dalam keadaan susah ia dinaikkan tetapi dalam keadaan senang dan baik, ia diturunkan, kata beliau.
Defisit tinggi dalam tempoh 1-2 tahun tidak menjadi masalah kerana negara pernah melakukannya, tambah Nor Mohamed.
Mengenai kebimbangan tentang bank-bank asing di negara ini, beliau berkata bank-bank milik asing yang beroperasi di negara ini telah diwajib ditubuhkan dengan mempunyai modal ekuiti sendiri dan bukan menjadi cawangan kepada bank induk di negara masing-masing.
Oleh itu tidak ada risiko terhadap kekukuhan bank-bank asing di negara ini, kata beliau.
Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata krisis yang melanda sekarang ada hikmahnya.
Antara hikmah-hikmah dari krisis sekarang ialah pemimpin-pemimpin barat telah menerima nasihat Malaysia pada 10 tahun lepas tentang kelemahan sistem kewangan antarabangsa dan sekarang ini mereka juga mahukan sistem yang lebih adil dan lengkap.
Beliau berkata ia juga memberi peluang kepada pakar-pakar ekonomi untuk berkumpul dan mengemukakan pendapat bagi mengukuhkan lagi sistem yang sedia ada, dan dari krisis ini negara akan muncul lebih kuat untuk menghadapi cabaran dalam dunia yang berasaskan pengetahuan dan teknologi.
Di samping itu, ramai rakyat negara yang bekerja di luar dan berkemahiran juga bersedia untuk kembali kerana hilang kerja atau keadaan sukar di luar negara.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment