Pages

Wednesday, November 4, 2009

Melayu Singapura temu Melayu Malaysia

PASUKAN Melayu Singapura akan menentang Melayu Malaysia dalam pertandingan bola sepak Piala Pusingan ACTCO di Stadium Bedok Sabtu ini mulai 7.30 malam.

Perlawanan ini merupakan pembuka tirai bagi beberapa acara yang dalam perancangan bagi merayakan Ulang Tahun Ke-100 Persatuan Bola Sepak Melayu Singapura (PBMS).

Sebagai menghargai sokongan para peminat, terutama sekali kepada pasukan bola sepak Melayu Singapura, tiada bayaran dikenakan bagi menyaksikan perlawanan ini.

'Kami telah mengatur beberapa rancangan sebagai menyambut ulang tahun ke-100 ini dan pertandingan dengan Melayu Malaysia ini sebagai pembuka tirai,' kata naib presiden PBMS, Aziz Mohammad, semalam.

'Kami percaya peminat akan menyaksikan perlawanan yang menarik dan tiada bayaran dikenakan ini. Kami juga sedang mengatur beberapa acara lain dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat ini,' tambahnya, sambil melahirkan penghargaan kepada Syarikat ACTCO dan pengedar barangan sukan Lotto kerana menaja perlawanan Sabtu ini.

Menurut Aziz, perlawanan ini juga merupakan persiapan terakhir skuad Melayu Singapura untuk menghadapi pertandingan Piala Emas Raja-Raja Zon Selatan di Stadium Larkin, Johor, minggu depan.

Pasukan lain dalam zon ini ialah tuan rumah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Dua pasukan teratas keempat-empat zon akan melayakkan diri ke suku akhir pada 29 November dan 5 Disember.

Peringkat separuh akhir dijadualkan pada 12 dan 19 Disember sementara final pada 26 Disember.

Jurulatih Shahri Rahim memberitahu bahawa persiapan skuad Melayu Singapura berjalan lancar.

'Sejauh ini, sambutan pemain semasa latihan amat menggalakkan,' kata bekas penjaga gawang nasional itu. 'Kami juga telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji dan memantapkan persefahaman mereka.'

Shahri memberitahu bahawa bekas kapten nasional, Nazri Nasir, mengalami sedikit kecederaan pada buku lalinya tetapi beliau berharap pemain veteran itu akan pulih menjelang perlawanan dengan Melayu Malaysia nanti.

Selain daripada Nazri, bekas pemain nasional seperti Rafi Ali, Ali Imran Lomri, Mohamed Mardani, Dalis Supiat dan Harun Jumaat akan menjadi tulang belakang pasukan musim ini.

Sempena perlawanan ini, PBMS akan menyampaikan sijil kepada pemain veteran yang menjuarai pertandingan tujuh sepasukan Kelab Diraja Selangor pada 2008 dan 2009.

Begitu juga dengan pemain-pemain junior yang melayakkan diri ke suku akhir tahun ini.

No comments:

Posting Terkini