Pages

Friday, October 24, 2008

UMNO DIKATAKAN HADAPI 'PENYAKIT TUA'

KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Musa Hitam, berkata Umno kini berdepan dengan masalah 'sakit tua' yang hanya dapat disembuhkan jika generasi muda diberi peluang menduduki jawatan utama parti itu pada pemilihan Mac depan.

Beliau berkata pemilihan pemimpin muda bagi jawatan selain presiden dan timbalan presiden amat penting untuk membolehkan format pemikiran Umno diubah agar selari dengan kehendak rakyat.

Format pemikiran baru itu tidak akan dapat dicapai jika Umno terus diterajui golongan tidak mampu berubah disebabkan faktor usia dan budaya politik yang ketinggalan zaman.

'Pada hemat saya, Umno sedang menghadapi penyakit tua, 61 tahun umurnya, dan penyakit tua ini tidak boleh dibaiki oleh orang-orang tua.

'Maksud saya ialah mereka yang nak bertanding dalam Umno, memegang jawatan-jawatan tertinggi, haruslah terdiri daripada golongan muda yang memiliki idea-idea baru,' katanya di sini kelmarin.

Umno harus juga menyedari kemerosotan sokongan rakyat terhadapnya pada pilihan raya umum lalu ada kaitan rapat dengan masalah persepsi, ujarnya.

Antara yang menyumbang kepada masalah persepsi itu adalah isu rasuah, salah guna kuasa dan melaksana tanggungjawab, yang merupakan satu tuntutan rakyat.

'Kalau imej mereka sudah tidak diterima, apa juga yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin itu tidak akan diterima oleh rakyat,' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tun Musa berkata beliau kurang senang melihat cara calon pemilihan Umno berkempen kerana mereka banyak memperkata mengenai isu berkaitan emosi, perkauman dan agama.

Isu berkaitan masalah ekonomi yang amat penting tidak disentuh oleh mereka sedangkan ia menghantui pemikiran rakyat, kata beliau. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini