Pages

Monday, October 27, 2008

Syarikat Penerbangan Setuju Supaya Penerbangan Diliberalisasikan

KUALA LUMPUR, 27 Okt-- Persatuan pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berjaya memuktamadkan sidang kemuncak Agenda bagi Kebebasan di Istanbul, dengan syarikat-syarikat penerbangan bersetuju supaya sektor penerbangan diliberalisasikan.

Sejumlah 14 negara serta Suruhanjaya Eropah menghadiri mesyuarat hujung minggu itu yang memberi tumpuan terhadap cara untuk meningkatkan lagi liberalisasi akses pasaran dan pemilikan serta peraturan kawalan yang mentadbir penerbangan awam antarabangsa.

"Tahun ini merupakan tahun luar biasa bagi syarikat penerbangan. Mulai harga bahan api yang mencecah paras tertinggi pada AS$147 Julai lepas, sehinggalah kepada krisis kewangan global semasa, yang memerlukan syarikat penerbangan memiliki kelebihan yang industri lain mengambil mudah supaya tidak menjadi lebih kritikal," kata Giovanni Bisignani, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari ibu negara Turki itu pada Ahad.

Matlamat sidang kemuncak agenda bagi kebebasan itu bertujuan mencari jalan untuk memperluaskan kebebasan komersial syarikat-syarikat penerbangan iaitu akses kepada pasarana dan modal global. Mesyuarat itu tidak melibatkan sebarang pemeteraian perjanjian atau deklarasi.

"Persidangan itu berjaya. Mereka mengadakan perbincangan yang sangat terbuka dan berterus-terang mengenai akses pasaran dan pemilikan. Kami menghimpunkan 15 daripada peserta paling liberal dalam dasar penerbangan dan tiga hasil penting dicapai."

"Para peserta meminta IATA supaya terus memudahkan perbincangan dengan mengadakan mesyuarat kedua pada awal 2009 bagi menrealisasikan perbincangan menjadi pelan tindakan.

Mereka juga meminta IATA supaya memudahkan penyediaan kenyataan multilateral atau dasar yang akan membolehkan negara menyuarakan pemikiran dan pendekatan bersama,' katanya.

Akhirnya, kumpulan itu bersetuju menyebarluaskan amalan terbaik dalam liberalisasi dengan membuka kepada semua negara perjanjian paling liberal yang sedang dirundingkan," kata Bisignani.

Bisignani menekankan mengenai perlunya semua negara bertindak segera. "Lihat apa yang berlaku dalam sistem perbankan. Dalam tempoh seminggu, ia menjadi perusahaan milik negara di kebanyakan tempat.

"Kita sudahpun melihat nasionalisasi semula Aerolineas Argentinas. Ini bukan penyelesaian yang kita ada. Kita tidak meminta diselamatkan atau lebih banyak pembabitan kerajaan dalam perniagaan kita. Kerajaan mempunyai peranan kritikal dalam mengawal atur keselamatan, monopoli dan standard alam sekitar,' katanya.

"Yang kita mahukan ialah keupayaan untuk bertindak seperti mana-mana perniagaan global yang lain," kata Bisignani.

"Industri ini kini menghadapi krisis dan mesej untuk berubah sangat kritikal. Saya percaya mesej kami selari dengan kerajaan. Kami sudah memulakan proses yang saya yakini akan membantu membangunkan kedudukan kewangan yang lebih stabil dalam industri pengangkutan udara," katanya.

Agenda bagi sidang kemuncak untuk kebebasan merupakan susulan daripada deklarasi Istanbul yang dimeterai 230 anggota IATA yang antara lain menggesa supaya kebebasan komersial diperluaskan.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Jeffrey Shane, bekas setiausaha rendah pengangkutan Amerika Syarikat yang juga rakan usaha sama, Hogan & Hartson.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini