Pages

Friday, October 17, 2008

Scomi Dapat Projek Monorel Bernilai RM2 Bilion Di Mumbai

MUMBAI, 17 Okt-- Scomi Engineering Bhd, bersama rakan kongsi konsortiumnya, Larsen & Toubro (L&T), memenangi bida bagi pembinaan projek monorel Mumbai yang dianggarkan berharga RM2 bilion Mumbai, projek monorel sulung syarikat itu di seberang laut.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pembangunan Kawasan Metropolitan Mumbai (MMRD), Dilip Kawathkar, berkata arahan kerja akan diberikan kepada Scomi dan L&T dalam tempoh dua bulan akan datang.

Lewat Khamis, jawatankuasa kerja MMRD yang diketuai oleh ketua setiausaha Johnny Joseph, meluluskan projek berbilion ringgit yang dikemukakan oleh Scomi dan L&T itu.

"Arahan kerja akan diserahkan kepada L&T-Scomi dalam tempoh dua bulan dan kerja-kerja akan bermula menjelang Januari 2009. Landasan monorel 10 kilometer pertama dari Jacob Circle ke Wadala akan beroperasi dalam dua setengah tahun akan datang," katanya,seperti yang dilaporkan oleh akhbar Times India.

Monorel bertiang sepanjang 20 kilometer itu, iaitu yang pertama seumpamanya di India, akan merentasi Jacob Circle dan Stesen Chembur melalui Wadala.

Scomi dan L&T mengalahkan tujuh syarikat lain yang membida bagi satu daripada projek prasarana paling mahal di Mumbai dan hanya dua melepasi saringan selepas proses yang panjang.

Scomi/L&T dan konsortium Reliance Infrastructure-Hitachi yang diketuai usahawan India, Anil Ambani, merupakan pembida peringkat akhir.

"Perkongsian antara L&T dengan Scomi dan perjanjian menyiapkan projek itu dalam 30 bulan merupakan faktor utama projek itu dimenangi.

"Selain itu, pengalaman Malaysia dalam menyiapkan projek pasarana dengan pantas dan keupayaan kejuruteraan L&T merupakan kelebihan yang terserlah," demikian kata satu sumber berpangkalan di Mumbai, kepada Bernama.

Projek itu akan dilaksanakan atas dasar siap guna serta reka bentuk dan bina.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini