KOTA KINABALU, 19 Okt-- Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu semua pihak mengambil iktibar daripada perpecahan yang telah dilalui oleh Umno sebelum ini, dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan perpaduan dalam parti itu.
Shafie yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata pemimpin dan anggota Umno perlu menghormati dan patuh kepada keputusan MT yang menangguhkan pemilihan parti dari Disember ini kepada Mac tahun depan dalam usaha melicinkan proses peralihan kuasa.
"Apa yang penting ialah proses peralihan kuasa yang lancar. Tiada guna esok kita lahir sebagai pemimpin baru dalam Umno tetapi parti kita berpecah dan kekuatan kita semakin lemah," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran kraftangan di sini hari ini.
Shafie berkata pemilihan Umno kali ini bukan sahaja menjadi perhatian kepada anggota Umno tetapi juga rakyat negara serta pemimpin antarabangsa.
Beliau berkata pelan peralihan kuasa telah dipersetujui melalui perbincangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak timbul lagi desakan untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa.
Katanya pemimpin Umno seharusnya menghargai keputusan Abdullah yang tidak mempertahankan jawatan presiden Umno demi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Mengenai tempoh kempen pemilihan parti yang dikatakan agak lama, Shafie berkata ia tidak menjadi masalah "kerana yang penting ialah kita guna pakai tempoh itu untuk berkempen dengan semangat kekeluargaan".
Shafie yang kini layak bertanding untuk jawatan naib presiden, turut berterima kasih kepada perwakilan bahagian yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.
"Nampaknya senario politik sudah berubah dan rata-rata perwakilan mahukan perubahan, dan ini adalah satu perkembangan yang baik selaras dengan proses peremajaan parti kita," kata beliau.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment