PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat khas pada jam 8 malam ini bagi membincangkan kandungan retreat Umno yang diadakan pada Jun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba pada jam 8:40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Umno di sini hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak,Setiusaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam,seorang lagi Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli Majlis Tertinggi, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad.
Terdahulu di Parlimen petang tadi Abdullah, mengesahkan mengenai mesyuarat tersebut namun beliau enggan mengulas lanjut tentang agenda mesyuarat.
"Tunggu lepas nilah. Kita jumpa media malam ini," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Aeroangkasa Negara di bangunan Parlimen.
Mesyuarat khas tersebut akan berlangsung di ibu pejabat Umno, Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tentang hal ehwal parti.
"Ini bukan mesyuarat biasa. Ini adalah mesyuarat khas untuk MT berbincang mengenai parti...retreat.
"Tapi tak bolehlah saya nak beritahu apa agendanya," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan memutuskan perkara-perkara penting tentang Umno, Muhammad berkata, semua hasil retreat sebelum ini adalah penting dan MT ingin membincangkan hal itu dengan lebih lanjut lagi.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut enggan mendedahkan agenda mesyuarat pada malam ini.
"Ada retreat malam ni...beberapa perkara nak dibincangkan," katanya.
MT Umno telah mengadakan retreat di Shah Alam pada 5 dan 6 Jun lalu.
thestar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment