Pages

Saturday, November 1, 2008

Liku-Liku politik Najib


OCT 31 — Walaupun berhadapan dengan pelbagai kecaman hebat, dihujani tuduhan dan kutukan, Datuk Seri Najib Razak sentiasa kelihatan tenang. Dalam usianya yang baru mencecah 55 tahun, pengalaman politiknya sudah melangkaui 30 tahun.

Dalam usia 23 tahun beliau sudah menjadi Ahli Parlimen, mengambil alih kerusi arwah bapanya Tun Abdul Razak Hussein di Pekan, Pahang. Kini beliau hanya menanti masa untuk mengulangi sejarah bapanya sebagai Perdana Menteri. Tanpa aral melintang, lima bulan lagi akan tercapai cita-citanya.

Kalangan pengkritiknya dari luar parti kadang-kadang gagal memahami populariti Najib dalam Umno. Walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak digemari kebanyakan pemimpin dan akar umni Umno, Najib tidak pernah goyah dalam menyatakan sokongannya kepada bossnya.

Malah, apabila gergasi Umno Tun Dr Mahathir Mohamad mula mengecam hebat Abdullah dan mencadangkan Najib mengambil alih teraju negara, anak Pahang itu tetap tidak berganjak dari kedudukan nombor dua dalam parti.

Di kala golongan radikal Umno mencemuh Najib kerana enggan berbuat apa-apa sebelum ini, akar umbi mula melihat timbalan president parti mereka sebagai seorang yang setia kepada pemimpin dan sedar kedudukan diri dan politiknya.

Inilah antara intipati utama keutuhan Najib dalam Umno, dan ini agak sukar dimengertikan oleh pengkritik yang sudah awal-awal meramalkan kejatuhan Najib yang dikatakan bergelumang dengan bermacam skandal.

Memang Umno gusar sepanjang enam bulan pertama setelah dikejutkan dengan tsunami politik 8 Mac lalu. Tetapi kegagalan saingan beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim menterjemahkan sokongan popular pembangkang kepada usaha menarik Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional melompat parti setakat ini telah mula menyisih sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Setelah tarikh 16 September yang dijanjikan Anwar sebagai permulaan perubahan kerajaan tidak menampakkan sebarang hasil, Najib mula memperkenalkan semula dirinya sebagai calon pemimpin negara.

Tidak banyak yang perlu dilakonkan beliau kerana ketenangan yang selama ini beliau miliki mula diserlahkan di khalayak umum. Sejak lebih sebulan lalu, Najib memilih dengan baik apa yang perlu disuarakan dan apa yang perlu dilaksanakan, dan paling penting bagi orang politik, apa yang harus dilihat oleh rakyat.

Ini penting kerana politik perkauman yang dirasakan menyepi sejak sebelum pilihan raya umum ke-12 yang lalu kini mula menjenguk kembali dengan suaranya yang sumbang dan memedihkan telinga serta hati.

Kalangan pengkritik Najib meramalkan pemimpin Umno yang sudah lapan penggal menerajui Parlimen Pekan itu akan terjun ke kancah politik perkauman demi kepentingan peribadinya.

Namun, suaranya baru-baru mematahkan sama sekali dakwaan itu. Najib nampaknya lebih bersedia untuk legasi awal permulaannya sebagai bakal Perdana Menteri. Dan setakat ini, tiada calon lain yang akan mencabarnya bagi jawatan Presiden Umno yang akan tamat pencalonan lewat minggu depan, dan akan dipertandingkan Mac tahun depan.

Najib telah menyentuh isu yang dianggap sensitif oleh Umno, iaitu semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi payung kepada survival orang Melayu. Namun, pemilihan kata-katanya lebih menjemput kepada tolak ansur untuk penerimaan semua.

Dalam temu bual beliau dengan agensi media antarabangsa Bloomberg TV minggu lalu, Najib menyuarakan hasrat untuk mengakhiri unsur-unsur DEB secara berperingkat dalam usahanya untuk melaksanakan proses liberalisasi.

Kenyataan sedemikian pasti mengejutkan ramai kalangan Umno dan kumpulan Melayu yang selama ini tak kering peluh menghentam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang menyuarakan hasrat yang sama.

Namun, satu lagi kelebihan Najib yang jarang diperhatikan pengkritik beliau adalah keupayaannya menangani media massa. Dalam masa yang singkat beliau menjelaskan:

"Apabila saya sebut dalam temubual saya dengan Bloomberg baru-baru ini, saya tidak bermaksud bahawa segala-galanya akan kita hapuskan pada masa sekarang ini. Saya kata bahawa apabila orang Melayu dan Bumiputera sudah pun berjaya dan mereka mempunyai keyakinan diri untuk bersaing di peringkat domestik dan global pada masa itu, orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu lagi kepada sebarang kuota atau pertimbangan khas.

"Apa yang saya maksudkan dengan liberalisasi secara beransur-ansur, bukan bermakna esok kita akan lakukan dalam setiap keperluan, bukan. Konsep liberalisasi beransur-ansur ini, saya fikir ia sesuatu yang boleh diterima oleh semua orang."

Dan paling penting, suara yang amat sangat mahu didengar kalangan Melayu: "Saya akan terus memperjuangkan agenda Melayu. Jangan ada sesiapa sama ada dalam dewan ini mahu pun yang berada di luar sana cuba mempertikaikan perkara ini," katanya di depan ahli dan jemputan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di ibu kota malam Selasa lalu.

Nada inklusif kaum terus disuarakan. Baru-baru ini, Najib menyebut keperluan nilai kesamaan atau equality diterapkan dalam setiap masyarakat bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum.

"Nilai ini boleh dijadikan landasan atau asas bukan saja untuk kukuhkan perpaduan tapi hasrat membentuk bangsa Malaysia akan menjadi kenyataan," katanya di Kuantan minggu lalu.

Apakah ini bererti Najib mahu meneruskan usaha mencapai matlamat Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr Mahathir 17 tahun lalu — walaupun kemudiannya sering dilupakan oleh sesetengah pemimpin Umno sendiri?

Apakah kalangan pemimpin dan rakyat masih ingat cabaran-cabaran utama ke arah pembentukan Bangsa Malaysia yang sepatutnya dicapai dalam masa 12 tahun lagi?

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuh nya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan pengenalan kemunduran ekonomi berdasarkan kaum.

Ini adalah suara Dr Mahathir sendiri pada tahun 1991. Dan kesannya, BN mendapat sokongan bulat rakyat dalam pilihan raya umum 1995. Apakah Najib yang sememangnya menghormati pemimpin veteran Umno itu punya cita-cita tersendiri untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai itu?

Pengkritik Najib sekali lagi akan menjuihkan bibir dan menghamburkan nista. Bagi mereka, segala-galanya adalah busuk semata-mata. Namun, kita tidak harus lupa ada juga kalangan insan yang teramat sangat membenci Dr Mahathir di kala era reformasi sedekad lalu kini menjunjung tinggi veteran itu yang pernah mereka gelarkan Mahafiraun dan Mahazalim.

Bagi Najib, beliau akan mengharungi episod yang telah pun dilalui oleh Dr Mahathir dan Abdullah apabila memasuki era kepimpinan penggal pertama dengan populariti yang hebat. Namun di hujung penggal pertama, bencana politik dijangka menyusup masuk. Malah, bagi Abdullah, sokongan luar biasa rakyat terhadap kepimpinannya pada pilihan raya 2004 ditarik balik dengan mengejutkan empat tahun kemudian.

Imbangan politik — kaum, agama, budaya, ekonomi dan hak asasi — akan menjadi penentu sokongan rakyat kepada beliau. Jika suara-suara "sederhana" beliau mula mendapat tempat di dalam Umno, tidak mustahil ia dapat memujuk rakyat Malaysia bukan Melayu yang masih tidak puas hati dengan BN.

Namun, Najib juga terpaksa berdepan dengan tohmahan pelbagai skandal termasuk tuduhan dari blogger Raja Petra Kamarudin yang kini merengkok tanpa bicara di dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Namun, seni politik yang halus dan kadang-kadang kotor pada masa-masa tertentu, mampu mengubah persepsi rakyat. Zaman Abdullah — Mr Nice Guy — terpaksa diakhiri dek persepsi.

themalaysianinsider

No comments:

Posting Terkini