PUTRAJAYA, 31 Okt-- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan semula kad pengenalan hijau, yang dihentikan pengeluarannya pada 2004, kepada pemastautin sementara mulai 15 Nov ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Katanya pengeluaran semula kad hijau akan dapat mengatasi masalah sejumlah 38,672 orang yang tidak mempunyai kad ganti ekoran pengeluarannya dihentikan.
Beliau berkata pengeluaran kad itu bagi mereka yang tidak dapat ditentukan latar belakang ibu bapa masing-masing dan daripada segi kriterianya masih sama seperti mereka mesti dilahirkan di Malaysia dan memiliki sijil kelahiran Malaysia.
Syed Hamid berkata berbeza dengan pembaharuannya yang perlu dilakukan dua kali setahun sebelum ini, kad pengenalan hijau kini perlu diperbaharui dalam tempoh lima tahun. Syed Hamid berkata mereka boleh mengunjungi pejabat pendaftaran di seluruh negara untuk memperolehi kad itu.
Beliau juga berkata JPN akan mengadakan operasi bergerak mulai Disember ini sehingga Jun tahun depan bagi membantu mengatasi masalah penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di setiap negeri.
Katanya sasaran utama adalah masyarakat India dan penduduk di kawasan sempadan seperti di Kelantan dan dianggarkan 30,000 orang dalam kumpulan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata pihak JPN akan membuka kaunter pada hari Sabtu dan Ahad di ibu pejabat JPN di sini dan semua ibu pejabat JPN di peringkat negeri bagi memudahkan orang ramai membuat urusan dengan jabatan itu.
Katanya operasi yang bermula 15 Nov ini mulai pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari diharap dapat memudahkan orang ramai membuat urusan dengan JPN dan mengurangkan jumlah aduan dalam pelbagai aspek.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment