Pages

Monday, September 22, 2008

RINGKAS MALAYSIA

Jongkong emas RM800,00 dirompak

PULAU PINANG 22 Sept. – Enam jongkong emas seberat 5.6 kilogram bernilai RM800,000 yang dibawa dua lelaki dirompak di tempat letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Wan Abdullah Tuanku Said berkata, rompakan itu dilakukan dua lelaki dipercayai warga Vietnam yang bersenjatakan pistol kira-kira 10.30 pagi. – Utusan.

Teresa dakwa makanan diberi 'lebih baik sedikit daripada makanan anjing'

SHAH ALAM 22 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini mendakwa makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah `lebih baik sedikit daripada makanan anjing’.

Beliau menafikan pernah menyamakan makanan yang disediakan kepadanya ketika ditahan pada 12 hingga 19 September lalu 'seperti makanan anjing'.

Beliau menyalahkan Utusan Malaysia yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya berhubung perkara itu.

Utusan Malaysia sebelum ini hanya memetik kenyataan Teresa mengenai perkara tersebut daripada laman web Malaysiakini. - Utusan.

Kes rompakan selesai dalam tempoh 2 jam

JOHOR BAHRU 22 Sept. _ Hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam, polis berjaya menahan dua perompak bersenjatakan pistol yang menyamun sebuah stesen minyak di Jalan Sulaiman, Muar dekat sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, stesen itu dirompak pada pukul 3.45 pagi dan kemudian dua lelaki tempatan berusia 32 dan 34 tahun itu berjaya diberkas pada pukul 5.15 pagi, hanya beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

"Polis menerima laporan daripada seorang pekerja tempatan di stesen itu bahawa dua lelaki itu merompak dengan cara mengacukan pistol ke arah pekerja itu dan memaksanya menyerahkan wang jualan minyak yang disimpannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. - Utusan.

Tiada tambatan ringgit

PUTRAJAYA 22 Sept. - Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula tambatan ringgit bagi menghadapi ekonomi global yang tidak menentu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

``Kita komited membiarkan pasaran menentukan sendiri nilai ringgit,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat di Kementerian Kewangan di sini hari ini.


No comments:

Posting Terkini