KUALA LUMPUR: Mufti dan pakar agama di Malaysia berpendapat kaedah pembayaran zakat fitrah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tidak menyalahi hukum syarak.
Malah, mereka menggalakkan penggunaan teknologi moden yang memudahkan umat Islam melaksanakan tuntutan syariat.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pihaknya tidak menghalang pembayaran zakat fitrah melalui SMS dengan syarat ia diuruskan dengan amanah, profesional dan cekap.
'Majlis Fatwa secara prinsipnya bersetuju dengan penggunaan kaedah itu kerana berpendapat ia memberi manfaat dan membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka.
'Jika pengagihan zakat fitrah melalui SMS mampu dilaksanakan secara berkesan dan betul, kita menggalakkan badan atau lembaga zakat negeri lain mencontohi langkah Lembaga Zakat Selangor (LZS),' katanya kelmarin.
Beliau mengulas langkah LZS serta Celcom Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui SMS bagi memudahkan umat Islam di Selangor melaksanakan tanggungjawab mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata hukum pembayaran zakat menerusi SMS adalah sah dan dibenarkan Islam.
'Tidak menjadi masalah jika umat Islam membayar zakat menerusi SMS. Cuma dari segi penghayatan tanggungjawab membayar zakat itu mungkin tidak sama seperti membayar terus kepada amil.
'Lebih afdal jika umat Islam bayar zakat fitrah terus kepada amil,' katanya. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment