Pages

Thursday, March 10, 2011

Pasaran hartanah di Seberang Perai terus kukuh

Warta Kerajaan Rakyat  - BUTTERWORTH: Pasaran hartanah di Seberang Perai akan terus mengukuh tahun ini seiring dengan prestasi ekonomi dan sentimen pasaran yang menggalakkan pada masa ini, kata seorang peserta industri.
Secara umumnya, pergerakan di pasaran dijangka meyakinkan dengan sektor hartanah kekal terus menarik minat kukuh terutamanya kediaman berpagar dan berkawal, kata Fook Tone Huat, Pengurus Kanan syarikat berasaskan hartanah, Henry Butcher Malaysia (Seberang Perai) Sdn Bhd.
“Terdapatnya permintaan untuk kedua-dua segmen hartanah kekal dan bangunan tinggi,” kata beliau dalam persidangan media di sini hari ini.
Beliau juga berkata yang hartanah kediaman di Seberang Perai boleh meningkat sebanyak 10 peratus tahun ini.

Beliau berkata lebih banyak projek bangunan tinggi dijangka dilihat di kawasan-kawasan bandar berikutan kos tanah yang tinggi dan permintaan menggalakkan daripada generasi muda serta kumpulan berpendapatan sederhana.
“Lebih banyak pembangunan kediaman juga dijangka dilihat kawasan pinggir kota di Alma dan Simpang Ampat ekoran harga tanah yang rendah dan lokasi strategik masing-masing yang berhampiran pusat komersil,” kata beliau.
Sementara itu, Fook berkata pasaran hartanah di Pulau Pinang mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2010 dengan sub-sektor kediaman kekal menjadi penggerak utama.
Beliau berkata di Seberang Perai, sub-sektor kediaman amat aktif pada separuh pertama 2010 berbanding tempoh yang sama 2009.
“Jumlah transaksi mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 2.95 peratus sementara jumlah nilai transaksi naik 6.49 peratus pada separuh pertama 2010 berbanding tempoh yang sama 2009,” kata beliau.
Pada umumnya, harga, sewa dan perolehan kasar hartanah kediaman stabil secara keseluruhannya. – Bernama

No comments:

Posting Terkini