Pages

Thursday, February 10, 2011

UPM halang Palapes terlibat PR kampus

PETALING JAYA: Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa universiti tersebut menghalang pelajarnya daripada terlibat secara langsung dalam pilihan raya (PR) kampus yang akan diadakan pada 21 Februari depan.
Pengerusinya Syed Syafiq Syed Hashim berkata pelajar UPM yang menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) diberi arahan oleh pegawai tertinggi pasukan itu semasa perbarisan pagi ini supaya tidak menjadi calon, pencadang mahu pun penyokong pencadang dalam PR kampus akan datang.
Melihat kepada arahan tersebut, Syed Syafiq berpendapat larangan ini merupakan satu usaha bagi menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dengan proses demokrasi di kampus.

“Kami juga berpendapat mana-mana mahasiswa termasuklah anggota Palapes mempunyai hak untuk menawarkan diri menjadi pemimpin mahasiswa di kampus.
“Justeru itu, kami berharap agar pihak Palapes di UPM agar segera menarik balik arahan tersebut agar proses demokrasi di kampus dapat berjalan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Institusi Pengajian Awam Tinggi (IPTA) bakal menyaksikan pemilihan demokrasi kepimpinan dalam kalangan mahasiswa apabila mengadakan pilihan raya kampus hujung Februari.
Selain UPM, Universiti Sains Malaysia (USM) juga akan mengadakan pilihan raya kampus pada hari yang sama diikuti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada keesokan harinya.

No comments:

Posting Terkini