Pages

Tuesday, November 16, 2010

Pengunduran Zaid merugikan PKR-Prof Dr Agus

Muhammad Agus yusof
Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Pengunduran Dato Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) merugikan parti itu dan juga Pakatan Rakyat (PR) secara umumnya.

Demikian pendapat Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Profesor Dr Muhammad Agus yusof kepada FMT hari ini ketika diminta mengulas kemelut yang melanda PKR.

Menurut beliau, penyertaan Zaid dalam PKR merupakan peluang terbaik untuk PKR bersama parti-parti lain dalam PR dalam usaha menawan Putrajaya.

"Apabila Zaid menyertai PR, ia adalah satu peluang yang baik untuk PR, khususnya PKR sendiri untuk menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

"Pengalaman politik beliau boleh membantu PKR. Selain itu karisma dan ideanya juga banyak menarik rakyat untuk memberikan sokongan kepada PKR.

"Namun apabila beliau keluar parti, tentulah peluang terbaik itu hilang begitu sahaja dan ini merugikan PR dan PKR sendiri," kata beliau.

Prof Dr Agus juga berpendapat PKR terlalu banyak kelemahan hinggakan masalah-masalah yang sepatutnya boleh ditangani segera berlarutan dan membawa pengunduran Zaid.

"Apa yang berlaku dalam pemilihan PKR memang menjelaskan lagi kepincangan dalam sistem pemilihan yang ada dalam PKR sekarang.

"PKR harus lebih bijak mengatasi konflik dalam parti dan saya juga melihat PKR tidak mempunyai kecekapan menguruskan masalah-masalah dalaman parti hingga masalah dibiarkan erlarutan," ujar beliau.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) turut dilihat begitu lambat bertindak dan masih terperangkap dengan wabak sindrom penafian dan sindrom bisu.

"Kalau pemimpin parti segera bertindak tegas mengatasi masalah berkenaan pemilihan yang dianggap sebagai penuh penipuan oleh sesetengah calon, tentu PKR tidak perlu menghadapi kemelut yang semakin parah ini.

"Tindakan mendiamkan diri dan berterusan menafikan aduan-aduan ahli dan calon adalah tindakan yang tidak bijak dan salah," katanya.

Prof Mohd Agus juga tidak menolak dakwaan pihak-pihak tertentu dalam dan luar parti bahawa PKR kini dikuasai oleh segelintir pihak dalam parti.

"Walaupun PKR mendakwa keadilan untuk semua, tetapi apa yang dilihat kini seperti membenarkan dakwaan bahawa PKR dikuasai oleh segelintir pemimpin dalam parti," kata beliau lagi.

Beliau turut berpendapat PKR harus lebih banyak belajar untuk menganalisa dan membuat keputusan dengan tepat dan pantas bagi menjamin kemelut dalaman dapat dibendung

No comments:

Posting Terkini