Osama Bin Laden |
DUBAI: Pemimpin kumpulan Al- Qaeda, Osama Bin Laden, memberi amaran kepada Perancis bahawa rancangannya mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam dan pembabitan mereka dalam peperangan di Afghanistan membolehkan tindakan ganas diambil ke atas warga Perancis.
Dalam satu rakaman audio yang disiarkan menerusi televisyen Al-Jazeera, Osama berkata penculikan tujuh warga asing, lima daripadanya warga Perancis di Sahara, utara Niger, bulan lalu adalah satu amaran.
'Mana boleh anda terlibat dalam penceborohan negara-negara kami dan menyokong Amerika Syarikat membunuh anak- anak dan kaum wanita kami, kemudian berharap dapat hidup dengan aman dan damai?
'Ia sangat mudah - sedang anda membunuh, anda akan dibunuh. Sedang anda mengambil orang tebusan, anda akan ditawan. Sedang anda mengkompromi keselamatan kami, kami akan mengkompromi keselamatan anda,' katanya dalam rakaman selama satu minit 55 saat itu.
Menyusuli pendedahan itu, Perancis melahirkan kebimbangan dan mendesak keperluan mengambil langkah berjaga-jaga.
Namun, pihak berkuasa negara itu masih mengesahkan ketulenan amaran tersebut.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Brice Hortefeux, berkata risiko serangan pengganas ke atas negara itu adalah benar dan pihak berkuasa akan mengambil langkah berjaga-jaga secara menyeluruh.
Perancis mengerahkan sekitar 4,000 askarnya di Afghanistan dan sempadan sekitarnya.
'Anda perlu renungkan apa yang berlaku ke atas Amerika ekoran perang yang tidak adil ini,' kata Osama lagi.
Bulan ini, Perancis meluluskan undang-undang melarang pemakaian purdah dan burqah di tempat awam mulai April depan.
Ramai penduduk Islam setempat menyuarakan kebimbangan langkah itu hanya akan menyebabkan golongan itu distigma.
Baru-baru ini, amaran mengenai kemungkinan serangan pengganas akan dilancarkan menyebabkan Perancis dan beberapa negara Eropah lain berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Awal dari ini, Jabatan Negara Amerika menasihatkan rakyatnya yang tinggal atau akan melancong di Eropah agar mengambil langkah berhati-hati. -- AP, AFP.
No comments:
Post a Comment