Pages

Tuesday, March 2, 2010

KENYATAAN MEDIA: APA HAL SALEHUDDIN HASHIM?

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 2 Mac 2010


APA HAL SALEHUDDIN HASHIM?


Saya tidak tahu dan tidak ingin tahu apakah peranan yang dimainkan oleh bekas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim. Beliau menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa beliaulah di belakang tindakan Anggota Parlimen (AP) yang keluar Parti dan saya mempercayainya.

Orang sudah tahu semua ADUN dan AP yang keluar mempunyai masalah kewangan ataupun masalah disiasat oleh SPRM. Namun tidak dinafikan ada juga masalah pribadi dengan pimpinan parti atau kerajaan negeri. Boleh dikatakan semuanya menemui PM Najib Razak dan ada kalanya isteri beliau, Rosmah Mansor, sebelum bertindak keluar.

Saya sentiasa berpendapat bahawa apabila daki sudah dibersihkan, kulit akan lebih menarik dan badan lebih sihat. Kita harus jangan lupa bahawa dalam sejarah permulaannya PAS, DAP dan bahkan UMNO menghadapi masalah Presiden, Setiausaha Agung dan pemimpin lain mereka berhenti. Akhirnya semua parti muncul lebih kuat.

Salehuddin telah memberikan khidmat baik kepada KEADILAN selama kira-kira enam tahun, tiga tahun sebagai Setiausaha Pengelola dan tiga lagi sebagai Setiausaha Agung. Biro Politik telah mencatatkan terima kasih atas jasanya.

Ada anggapan kononnya Parti mendapat khidmat Salehuddin secara percuma. Saya ingin merakamkan yang sebenar, iaitu Salehuddin bersetuju dibayar RM9,000 sebulan, walaupun asalnya beliau meminta US3,000 sebulan. Bayaran ini dibuat bukan oleh Parti tetapi oleh salah seorang penyokong.

Saya memang tahu selama beliau berkhidmat dengan baik, sikap Salehuddin terhadap Parti, terutama pimpinannya, sering turun naik. Akan tetapi kemarahan beliau memuncak apabila “permohonannya” untuk menjadi CEO Syarikat Perangsang, yang membawa gaji lebih dari RM50,000 sebulan, ditolak tidak lama sebelum beliau meletakkan jawatan.

Kini Salehuddin meramalkan kira-kira 10 orang lagi AP akan keluar Parti. Biarkanlah Salehuddin dengan ramalannya dan hanya masa saja yang akan membuktikan sama ada ramalan itu akan terbukti tepat atau tidak. Namun, dengan maklumat yang ada pada saya, saya percaya ini hanya sebagai tuduhan melulu bersifat perang urat saraf yang tidak mempunyai asas kukuh.


DR. SYED HUSIN ALI
Timbalan Presiden, KEADILAN


BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT


1 comment:

Anonymous said...

KENYATAAN MEDIA BAGI MENJAWAB KENYATAAN DR. SYED HUSIN

Agak melucukan apabila seorang pegawai tinggi Parti yang sepatutnya membantu dalam usaha memperkukuhan Parti ketika pemimpinnya terbelenggu dengan masalah peribadi, hendak meneruskan dendam peribadinya yang amat kebudak-budakan dan mencerminkan kecetekan pemikiran politik yang melanda pimpinan PKR.

Saya akan menjawab dengan ringkas:

1. Ya, saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf Dato' Seri Anwar Ibrahim selama 4 tahun, sepenuh masa tanpa apa-apa bayaran. Setelah kejayaan pada PRU 12, saya merasakan saya telah membuat yang terbaik dan bersara ke kampung halaman. Tidak lama selepas itu, Dato' Seri Anwar telah merayu untuk saya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung sepenuh masa. Dengan berat hati, saya menerima tawaran tersebut dengan beberapa syarat, antaranya sebuah Ibu Pejabat Parti yang lengkap, gaji yang mencukupi untuk staf dan memandangkan saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola selama 4 tahun dengan menggunakan wang saya sendiri untuk perbelanjaan pejabat, saya meminta elaun RM100 sehari untuk perbelanjaan berkaitan seperti telefon, parkir, perjalanan, makan-minum dan sebagainya. RM9,000 adalah jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan masa yang telah saya curahkan dan gaji terakhir saya sebelum bersara, dan jika dibandingkan dengan jumlah besar yang telah dibayar kepada pelbagai individu dalam dan luar Parti untuk menggembirakan dan mendiamkan mereka tanpa mereka perlu membuat apa-apa. Saya tidak berhajat untuk mengulas panjang.

2. Ya, saya kecewa dengan insiden yang membabitkan Kumpulan Perangsang. Saya tidak ingin menghuraikan dengan lebih lanjut kerana ini hanya akan memalukan Dato' Seri Anwar yang saya pasti beliau tidak tahu-menahu tentang kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dr. Syed Husin. Memadailah bagi saya menyatakan bahawa sindiran Dr. Syed Husin terhadap saya adalah cukup untuk saya mendedahkan bahawa saya mempunyai rekod menghantar e-mel sulit kepada Dato' Seri Anwar. Dato' Seri Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi Parti, walaupun saya agak keberatan. Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan. Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit ini kepada umum. Memadailah untuk Dr. Syed Husin membuat kajiannya sendiri sebelum bercakap melalut. Semua ini direkodkan dalam komputer saya beserta bukti-bukti lain yang menunjukkan Dato' Seri telah menerima e-mel tersebut dan bertindak sewajarnya.

Saya rasa kenyataan ini cukup buat masa sekarang. Saya berharap demi rakyat yang mendahagakan perubahan di negara ini, agar Dr. Syed Husin yang tinggi kalibernya, untuk sekurang-kurangnya menaikkan standardnya dari standard kebudak-budakan. Tetapi saya faham, buluh tua tidak boleh dilentur lagi.

Terima kasih.


SALEHUDDIN HASHIM

Posting Terkini