Pages

Friday, February 26, 2010

Jurulatih dibunuh paus taman hiburan

MIAMI: Seekor paus di sebuah taman hiburan di tengah Florida, Amerika Syarikat, membunuh jurulatihnya semalam, kata polis.

'Beliau sedang mengusapusap kepala paus (jenis) killer whale itu, dan tiba-tiba ia menyambar dan menariknya ke dalam kolam air,' kata Encik Chuck Tompkins, kurator di taman hiburan SeaWorld Parks & Entertainment itu.

Cik Dawn Brancheau, 40 tahun, jurulatih berpengalaman 16 tahun di SeaWorld, ditemui mati apabila pegawai penyelamat tiba, kata jurucakap Syerif Orange County, Encik Jim Solomons.

Laporan-laporan media berkata paus itu, yang lebih lazim dikenali sebagai 'orca', menyambar jurulatih itu di pinggangnya, melambung-lambungkan beliau di permukaan air dan menarik beliau ke dalam air di Stadium Shamu, tempat pertunjukan paus di taman itu.

Presiden SeaWorld Orlando, Encik Dan Brown, berkata Cik Brancheau mati lemas.

Awal dari itu terdapat laporan-laporan bercanggah mengenai bagaimana kejadian itu berlaku.

Akhbar The Orlando Sentinel memetik seorang saksi sebagai berkata paus itu keluar dari air dan menyambar jurulatih itu di bahagian pinggang.

Pegawai syerif itu bagaimanapun berkata keterangan awal menunjukkan beliau tergelincir dan jatuh ke dalam air.

'Ia berlaku setelah satu sesi indah dengan Dawn... kelakuan dia baik... itu sebabnya beliau mengusap kepalanya,' kata Encik Tompkins.

'Kami belum ada sebarang butir lagi. Ia dahsyat, satu suasana dahsyat telah berlaku, ia satu tragedi, simpati kami yang tidak terhingga untuk keluarga beliau,' tambahnya.

Taman itu milik Blackstone Group, syarikat ekuiti swasta yang juga memiliki sebahagian taman tema Universal Orlando.

Seorang jurucakap SeaWorld di San Diego berkata pertunjukan paus digantung buat sementara waktu berikutan kejadian di Orlando itu. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini