Pages

Tuesday, October 13, 2009

Kejayaan BN Di Bagan Pinang Dalam Usul Ucapan Presiden

KUALA LUMPUR, 13 Okt-- Kejayaan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kawasan Bagan Pinang pada Ahad lepas akan turut menjadi topik perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno yang bermula Selasa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata ini kerana kemenangan itu boleh dijadikan sandaran dan pembaharuan yang akan dilakukan oleh parti khususnya untuk orang Melayu dan juga rakyat Malaysia.

"Soal perubahan sudah mula berlaku dan kita bolehlah rujuk sikit kepada kejayaan pilihan raya kecil di Bagan Pinang, bolehlah dikupas dan diteliti faktor yang menyumbang kepada pencapaian kita," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat usul kepada jurucakap-jurucakap negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kemenangan itu juga telah menampakkan sokongan daripada semua kaum khususnya masyarakat Cina dan India yang dilihat sudah kembali mempercayai kepimpinan negara.

"Dalam kemenangan ini, kita rasa insaf dan sedar bahawa kita tak boleh terlalu 'over' sangat. Pembaharuan yang hendak kita lakukan bukan setakat memenuhi tuntutan orang Melayu tetapi juga seluruh masyarakat Malaysia.

"Ini harus tercerna daripada apa yang hendak dinyatakan oleh pembahas dalam perhimpunan ini," katanya.

Muhyiddin berharap agar semua jurucakap negeri dapat memberi sumbangan dan idea mengenai bagaimana perubahan dan pembaharuan dalam parti dapat dilakukan selari dengan kehendak Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai pindaan perlembagaan parti yang akan dibentangkan pada Khamis, Muhyiddin berkata semua jurucakap akan diberi peluang untuk memberi pandangan dan sumbangan agar perhimpunan kali ini dapat memberi natijah yang baik kepada negara.

"Cadangan pindaan akan memberi kesan dan implikasi besar kepada parti kita, bukan sahaja dari sudut teknikal tetapi perubahan itu akan melibatkan penyertaan lebih ramai dalam proses pemilihan parti.

"Ia akan mempunyai kesan-kesan penggandaan kepada anggota parti dan masyarakat Melayu sebab ini juga satu inisiatif tentang perubahan yang dijanjikan oleh Presiden parti sewaktu ucapan pada perhimpunan lalu dan ditunaikan pada perhimpunan ini," katanya.

Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden melibatkan 16 jurucakap termasuk wakil sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.



-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini