Pages

Tuesday, September 8, 2009

TAPAK CADANGAN BARU UNTUK KUIL SEKSYEN 19

SHAH ALAM: Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada hari ini telah meninjau beberapa kawasan dalam usaha menyelesaikan perpindahan Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19 Shah Alam ke lokasi yang lebih sesuai.

Usaha turun padang Kerajaan Negeri yang turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Y.B Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam, Y.B Khalid Samad. Selain itu, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Bin Md. Noor serta Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar juga hadir melakukan tinjauan.

Hasil tinjauan Kerajaan Negeri ke Seksyen 18, 19, 20 dan 23 Shah Alam, sebuah lokasi yang terletak di dalam kawasan Seksyen 23 telah dicadangkan sebagai tapak cadangan baru bagi membina sebuah kuil baru untuk menggantikan Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19.

Kerajaan Negeri akan memaklumkan dan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 19 mengenai tapak cadangan baru ini. Kerajaan Negeri prihatin untuk mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat untuk memastikan satu penyelesaian terbaik dapat dicapai.

SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

No comments:

Posting Terkini