Pages

Friday, August 14, 2009

Pegawai narkotik dijel sebab hapus bahan bukti

UNTUK melindungi teman lelakinya pada waktu itu, seorang pegawai narkotik telah memadamkan nombor telefon bimbit dan pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit seorang yang didakwa melakukan kesalahan berkaitan dengan dadah.

Bagaimanapun, tindakan Norini Mohamed Aloon tidak terhenti di situ. Malah, dia telah memberitahu teman lelakinya, Imran Mohamed, 33 tahun, bahawa seorang lelaki bernama Feroz Khan Surattee, 41 tahun, telah diberkas.

Telefon bimbit Feroz telah dirampas Biro Narkotik Pusat (CNB) setelah sekumpulan pegawai menangkap Feroz di rumahnya di Circuit Road, pada 18 Februari tahun lalu, kerana memiliki dan mengambil dadah terkawal.

Pegawai CNB, Encik Mohammad Khairudin Rahmat, 28 tahun, terjumpa pesanan ringkas di telefon bimbit Feroz, yang dikirimkan daripada telefon bimbit yang digunakan Imran.

Pesanan itu mengatakan yang Imran akan menghubungi Feroz kemudian untuk mengambil dadah heroin daripadanya.

Encik Mohammad Khairudin juga menemui beberapa pesanan lain yang dikirimkan daripada nombor telefon bimbit Imran kepada Feroz.

Ketika para pegawai CNB meninggalkan flat di Circuit Road itu, Encik Mohammad Khairudin memberi telefon bimbit Feroz kepada Norini untuk disimpan.

Dalam perjalanan ke van, Norini memeriksa telefon bimbit Feroz dan ternampak nombor Imran dalam beberapa fail di telefon tersebut.

Dia kemudian cepat-cepat memadamkan kandungan yang berkaitan dengan telefon bimbit Imran daripada fail panggilan dan SMS telefon Feroz.

Nombor telefon yang digunakan Imran sebenarnya merupakan nombor yang dilanggani abang Norini, Nordin Mohamed Aloon, 35 tahun.

Sebelum itu, Nordin telah membenarkan Norini memberikan kad SIM telefonnya untuk digunakan Imran.

Apabila Encik Mohammad Khairudin menyedari ada beberapa SMS yang telah dipadamkan, beliau segera memberitahu pegawai atasannya.

Ketika ditanya, Norini mengaku telah memadamkan beberapa SMS daripada telefon bimbit Feroz untuk melindungi teman lelaki dan abangnya daripada disiasat dan didakwa oleh CNB.

Semalam, Norini dipenjara tujuh bulan setelah mengaku memusnahkan bahan bukti dan menyampaikan maklumat rahsia kepada orang yang tidak sepatutnya.

Dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan/atau didenda kerana memusnahkan rekod elektronik.

Sementara, di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dia boleh didenda sehingga $2,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

No comments:

Posting Terkini